Categories
SELANGOR

TKSU KeTTHA: penarafan 5 bintang jadikan MPSJ peneraju PBT lain

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 28 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dianggap sebagai peneraju dan contoh kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini ekoran kejayaan PBT itu penarafan lima bintang pada Mei lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Harjeet Singh berkata, penarafan yang diperolehi melalui Sistem Penarafan Bintang oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menjadikan MPSJ sebagai PBT pertama memperolehi pengiktirafan seumpamanya.

“Saya rasa PBT lain juga akan mengikuti langkah MPSJ dan sesungguhnya pihak kementerian sangat berbangga dengan usaha dan keprihatinan MPSJ selaku PBT di bawah Yang Dipertuanya, Datuk Asmawi Kasbi atas usaha memberi kehidupan lebih berkualiti dan sihat untuk komuniti di Subang Jaya,” kata Harjeet ketika merasmikan Majlis Penutup Seminar Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon di One City Garden Boulevard West, di sini, hari ini.

Menyentuh usaha menjadikan bandar-bandar di negara ini sebagai bandar rendah karbon, Harjeet berkata, PBT di Selangor juga dilihat giat memainkan peranan bagi menjayakan usaha terbabit.

“Bila ditanya pencapaian, antaranya kita kurangkan penggunaan plastik yang dah dimulakan di Selangor dan juga beberapa negeri lain.

“Kami di peringkat kementerian amat mengalu-alukan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri bagi mencapai sasaran bandar rendah karbon,” kata Harjeet lagi.

Bagaimanapun tambah beliau, usaha ini perlu melibatkan semua pihak seperti pemaju perumahan, pemain industri, ahli profesional serta akademik, orang awam dan lain-lain.

Jelas beliau, MPSJ memberikan contoh terbaik dalam usaha PBT itu melibatkan masyarakat awam demi menjayakan pelan tindakan jangka panjang, MPSJ Green City 2030.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.