Categories
SELANGOR

PAS pertimbang tolak Timb Speaker, keputusan sebelum sidang DUN

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 SEPT: PAS masih belum memutuskan sama ada akan menerima perlantikan jawatan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu.

Perkara ini dibincangkan dalam pertemuan ahli-ahli Exco PAS bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berlangsung malam tadi di kediaman salah seorang exco PAS yang baru dilantik itu.

“Memang belum diputuskan sama ada PAS akan menerima tawaran agar seorang ADUN PAS dilantik sebagai Timbalan Speaker atau tidak.

“Satu keputusan akan dibuat sebelum sidang DNS bermula dan jika PAS menolak adalah kerana PAS mahukan kesemua ADUN PAS yang tidak dilantik menjadi Exco dapat berperanan sepenuhnya sebagai ADUN di dalam DNS dan tidak disibukkan dengan tugas sebagai Timbalan Speaker,” kata Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Tambah Iskandar, pertemuan yang berlangsung selama dua jam setengah itu merupakan pertemuan pertama di antara Exco baru dan mantan Exco bersama Presiden PAS selepas istiadat mengangkat sumpah Exco.

“Presiden telah memberikan banyak nasihat kepada mereka dan antara yang dibincangkan adalah peranan Exco-Exco PAS di dalam kerajaan,” ujar Iskandar lagi.

Selain tiga Exco, Iskandar, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdulb Talib turut sama dalam pertemuan terbabit, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.