Categories
NASIONAL

Putrajaya diminta hebah peraturan baru cermin gelap kenderaan

Oleh AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 OKT: Pengamal undang-undang, Zulhazmi Shariff meminta Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai atau Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad menghebahkan kandungan peraturan baru cermin gelap kenderaan yang akan dikuatkuasakan 1 November nanti.

Hal ini kerana para pengguna dan pemain industri harus diberikan ruang masa dan maklumat terperinci berkaitan peraturan baru tersebut sebelum dilaksanakan.

“Saya juga ingin menyatakan bahawa sehingga hari ini setelah Ketua Pengarah JPJ menyatakan bahawa JPJ akan mula melaksanakan peraturan baru tersebut, tiada sebarang hebahan atau siaran kepada awam apakah isi peraturan baru tersebut.

“Harus diambil perhatian bahawa setiap peraturan yang hendak dilaksanakan atau dikuatkuasakan mestilah diwartakan.

“Kegagalan mewartakan peraturan akan menyebabkan peraturan tersebut tidak sah dan melanggar undang-undang negara malah akan memberi kesan yang teruk kepada para pengguna dan pemain industri,” katanya.

Hasil carian di Portal Rasmi E-Warta Persekutuan (http://www.federalgazette.agc.gov.my/) mendapati tiada sebarang maklumat tentang pewartaan peraturan baru tersebut.

Jelasnya, kenyataan yang menyebut berhubung peraturan membenarkan kadar ketelusan cahaya bagi cermin depan ialah 70 peratus, 50 peratus cermin sisi pemandu, 30 peratus cermin sisi penumpang belakang dan 30 peratus cermin belakang disifatkan tidak lengkap dan tidak jelas.

“Kalau mahu kuatkuasa peraturan baru, perlu siarkan dan hebahkan keseluruhan peraturan baru untuk dilihat & diteliti oleh masyarakat. Bukan setakat sebut sebaris saja,” ujarnya lagi.

Difahamkan, peraturan baru ini adalah hasil Bengkel Kajian Penggunaan Cermin Gelap Kenderaan yang telah diadakan selama dua (2) hari di Hotel Holiday Inn Glenmarie Subang pada 2 dan 3 Jun 2014 yang lalu.

Beliau turut mencadangkan agar kaedah perlaksanaan dan penguatkuasaan juga dikaji semula dan diselaraskan di antara semua agensi penguatkuasa iaitu JPJ dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menyentuh soal hukuman kepada pesalah yang melibatkan hukuman penjara beliau menyarankan supaya ia dimansuhkan bahkan meminda hukuman lama kerana kesalahan menggunakan cermin gelap bukan kesalahan jenayah berat.

Mengikut peraturan sedia ada, pesalah boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 iaitu kompaun maksima RM300.

Jika didapati bersalah di mahkamah boleh dihukum dengan denda tidak melebih RM500 atau penjara tidak melebihi dua (2) minggu bagi kesalahan pertama manakala denda tidak melebihi RM1000 atau penjara tidak melebihi sebulan bagi kesalahan kedua atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.