Categories
AGENDA NASIONAL

Dokumen JPJ rosak akibat banjir boleh diganti percuma

PUTRAJAYA, 7 JAN: Mangsa banjir yang kehilangan atau kerosakan dokumen penting Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM) atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) boleh mendapatkan gantian percuma hingga 15 April ini.

Menurut kenyataan JPJ hari ini, inisiatif gantian percuma itu yang berkuat kuasa serta-merta, merupakan antara langkah diambil jabatan tersebut untuk membantu masyarakat yang terkesan oleh banjir.

Pemilik dokumen perlu hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak untuk mendapatkan salinan gantian, manakala bagi dokumen yang musnah atau hilang, pemilik perlu membuat laporan polis dan mengemukakan laporan itu sebagai bukti kehilangan untuk mendapatkan gantian dokumen baharu, demikian menurut kenyataan tersebut.

Berikutan situasi banjir sekarang, JPJ turut memberi kelonggaran dari segi penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan atau individu yang terlibat dalam operasi menyelamat dan membawa bekalan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) atau bilik gerakan banjir sehingga situasi reda dan terkawal.

Menurut kenyataan itu lagi, unit kaunter bergerak JPJ (JPJ Mobile) akan ditempatkan di kawasan terpilih khususnya di PPS bagi memudahkan masyarakat setempat yang mengalami impak banjir mendapatkan perkhidmatan JPJ dengan lebih dekat, mudah dan selamat.

Pejabat JPJ di seluruh negara juga telah diarahkan bersedia untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk tenaga atau menggerakkan aset-aset kenderaan JPJ sekiranya bersesuaian ketika banjir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat swasta manfaat tawaran JPJ, bayar saman tertunggak RM500,000

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Sebuah syarikat swasta yang membayar saman tertunggak kira-kira RM500,000 adalah antara pihak yang memanfaatkan tawaran pengurangan 70 peratus saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Selangor, Mohamad Hafiz Usman berkata syarikat pembersihan itu adalah antara yang menjadikan JPJ Selangor berjaya mengutip sebanyak RM1.604 juta saman tertunggak menerusi tawaran itu sehingga 31 Ogos lepas.

Beliau berkata syarikat berkenaan menggunakan peluang yang ada untuk menyelesaikan saman tertunggak mereka.

“Namun saya percaya ramai lagi yang akan menyelesaikan saman mereka terutama pada hujung bulan ini dan menjadikan JPJ Selangor antara yang menerima kutipan tertinggi di Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika selepas Ops Fancy di Plaza Tol Batu 9, di sini, malam tadi.

Mohamad Hafiz berkata jumlah yang berjaya dikutip itu membabitkan 21,476 saman dan tawaran pengurangan itu akan diteruskan sehingga 30 September ini.

Beliau berkata tawaran itu boleh dimanfaatkan oleh penerima semua jenis saman JPJ kecuali saman yang melibatkan kes di mahkamah.

Sementara itu, Mohamad Hafiz berkata Ops Fancy pada malam tadi melibatkan 139 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk JPJ, polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar.

“Sebanyak 662 saman JPJ telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kebanyakannya kerana tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh,” katanya.

Beliau juga berkata dalam lapan operasi berskala besar yang dijalankan JPJ Selangor sepanjang bulan lepas, sebanyak 4,737 saman dikeluarkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ kutip RM3.85 juta selepas diskaun saman 70 peratus

PUTRAJAYA, 17 OGOS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengutip sebanyak RM3.85 juta hasil pembayaran saman antara 1 Ogos sehingga 15 Ogos berikutan pelaksanaan diskaun saman yang boleh dikompaun sebanyak 70 peratus.

JPJ dalam satu kenyataan hari ini berkata kutipan berkenaan adalah hasil transaksi melibatkan sebanyak 51,178 saman yang diselesaikan melalui pelbagai saluran antaranya kaunter JPJ, kaunter bergerak JPJ serta portal dan kios JPJ.

“JPJ negeri Selangor merupakan yang tertinggi membuat kutipan iaitu sebanyak RM620,157 dengan 8,165 saman telah diselesaikan,” katanya.

Menurut JPJ, jumlah saman tertunggak dan masih belum dijelaskan sehingga kini adalah sebanyak 2.4 juta dengan anggaran kutipan selepas pengurangan sebanyak RM170 juta.

Saman yang telah disenarai hitam pula adalah sebanyak 1.79 juta, kata JPJ.

Justeru, JPJ mengingatkan orang ramai agar merebut peluang bagi mendapatkan pengurangan saman kompaun sebanyak 70 peratus berkenaan dan tidak menunggu sehingga saat akhir bagi mengelakkan sebarang kesulitan yang tidak diingini.

“Seperti yang telah diketahui umum, saman yang yang tidak dibayar akan disenaraihitamkan dan kesannya akan menimbulkan masalah ketika berurusan dengan JPJ seperti pembaharuan lesen memandu, lesen kenderaan motor, proses tukar hak milik serta lain-lain lagi,” katanya.

Pengurangan saman kompaun JPJ yang akan berakhir pada 31 Ogos ini adalah bersempena dengan bulan kebangsaan dan selaras dengan tema Hari Kebangsaan 2020 iaitu “Malaysia Prihatin”.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Patuhi SOP ketika berurusan di pejabat JPJ

PUTRAJAYA, 29 JULAI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangkakan orang ramai akan ke pejabat agensi itu dalam jumlah yang ramai pada satu-satu masa susulan tawaran diskaun pembayaran saman sebanyak 70 peratus bermula dari 1 hingga 31 Ogos ini.

Sehubungan itu, JPJ mengingatkan orang ramai supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika berada di pejabat JPJ dengan mengamalkan kebiasaan baharu.

Antaranya mengamalkan disiplin diri, mematuhi jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan seperti mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Justeru diingatkan agar orang ramai mematuhi segala arahan pegawai bertugas supaya penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan lancar seperti yang dikehendaki,” katanya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum ini mengumumkan tawaran pengurangan pembayaran saman sebanyak 70 peratus kepada semua saman boleh kompaun yang dikeluarkan oleh JPJ dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bermula 1 Ogos sehingga 31 Ogos ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saman RM300 nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi

SHAH ALAM, 17 JUN: Sebanyak 12,694 notis saman dikeluarkan sepanjang tahun ini jika menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, kata ketua pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata sebanyak 7,455 pemilik kenderaan turut dikenakan kompaun RM300 atas kesalahan sama sekali gus menunjukkan ramai pengguna jalan raya mengabaikan peraturan tersebut.

“Pemilik kenderaan yang diberikan notis saman perlu hadir ke pejabat JPJ untuk memberi penjelasan dan diperiksa sebelum disaman RM300.

“Jumlah notis saman yang tinggi menunjukkan ramai pengguna jalan raya mengabaikan peraturan. Nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi akan mengelirukan dan sukar dicam pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Shaharuddin berkata orang ramai yang melihat kenderaan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi boleh merakam gambar dan menghantar aduan ke e-mel [email protected].

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua kaunter JPJ dibuka hari ini, hasil kutipan dijangka cecah RM5 juta

SHAH ALAM, 18 MEI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangka dapat mengutip hasil mencecah RM5 juta hari ini apabila semua urus niaga kaunter perkhidmatan jabatan itu beroperasi semula selepas ditutup semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata jumlah kutipan hasil itu dijangka diperoleh untuk hari ini sahaja menerusi operasi kaunter yang bermula 8 pagi sehingga 4 petang di seluruh negara.

“… dan untuk Selangor sahaja, kita jangka akan mengutip hasil sehingga RM1.6 juta (hari ini), ” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke JPJ Selangor di sini, hari ini.

Shaharuddin berkata sebanyak 82 pejabat JPJ telah dibuka di seluruh negara, selain pihaknya turut menggerakkan 17 kenderaan perkhidmatan kaunter JPJ Mobile bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan jabatan berkenaan.

Katanya, sebelum ini, JPJ turut membuka kaunter bagi beberapa urus niaga secara berperingkat dengan menumpukan kepada kenderaan perdagangan bagi menyokong pembangunan sektor ekonomi negara.

“Kaunter urus niaga melibatkan kenderaan perdagangan dibuka sejak 29 April lepas dan dalam tempoh itu hingga 12 Mei lalu, sebanyak RM83 juta berjaya dikutip daripada operasi kaunter berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Shaharuddin turut mengingatkan pemegang Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) dan Lesen Memandu (LLM) yang tamat tempoh supaya tidak tergesa-gesa hadir ke JPJ untuk memperbaharui lesen kerana mereka dikecualikan daripada memperbaharuinya sejak PKP dilaksanakan.

Katanya, orang ramai masih boleh memandu di jalan raya dengan lesen tamat tempoh dengan syarat membawa nota lindung insurans yang masih sah.

“Kira-kira 1.8 juta lesen kenderaan bermotor turut dikesan tamat tempoh dari 18 Mac sehingga 30 Mei lepas, manakala bagi lesen memandu pula adalah sebanyak 981,883 bagi tempoh yang sama,“ katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ buka kaunter tujuh hari seminggu, kecuali cuti am

PUTRAJAYA, 12 MEI: Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan beroperasi selama tujuh hari seminggu bagi membolehkan urus niaga tertunggak diselesaikan secepat mungkin serta mengelakkan kesesakan pelanggan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata pelaksanaan operasi tujuh hari seminggu bagi kaunter JPJ di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu akan bermula 15 Mei ini manakala negeri-negeri lain adalah pada 16 Mei.

“Operasi tujuh hari seminggu ini akan berterusan sehingga arahan pemberhentian dikeluarkan. Walau bagaimanapun ia dikecualikan bagi hari cuti am yang telah diisytiharkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, masa operasi bagi hari Sabtu dan Ahad/Jumaat adalah dari 8 pagi hingga 1 tengah hari dengan kutipan hasil hanya melalui transaksi ‘e-payment’.

Wee dalam pada itu berkata JPJ akan membuka semula transaksi di kaunter secara berfasa mulai esok (13 Mei) selepas ditutup sejak 20 Mac lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mulai 13 Mei, kaunter JPJ di seluruh negara akan kembali memulakan transaksi melibatkan tiga urusan seperti cetakan Vehicle Ownership Certificate (VOC) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) kali pertama bagi tukar hak milik dan pendaftaran baharu.

Urusan lain ialah pengesahan biometrik pemunya baharu (pembeli) bagi urusan tukar hak milik secara sukarela (kenderaan persendirian) dan permohonan permit memandu antarabangsa, katanya.

Wee berkata pembukaan kaunter JPJ adalah selari dengan keputusan kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi menerusi pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat (PKPB).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ sumbang RM4.32 bilion kepada hasil negara

SHAH ALAM, 23 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan menyumbang RM4.32 bilion kepada hasil negara tahun lalu.

Ketua pengarahnya berkata kutipan itu meningkat 1.98 peratus berbanding tahun sebelumnya, lapor Sinar Harian.

“Sebanyak 68 peratus daripada jumlah hasil itu ia dijana oleh Lesen Kenderaan Motor (LKM) iaitu sebanyak RM2.97 bilion,” kata Datuk Seri Shaharuddin Khalid di Putrajaya hari ini.

Katanya sehingga Disember 2019 JPJ mengeluarkan saman sebanyak 1,406,902 notis berbanding tahun 2018 iaitu sebanyak 1,175,731.

Daripada jumlah pengeluaran notis tersebut, 625,326 telah selesai dengan jumlah kutipan hasil sebanyak RM132 juta.

“Kita perlu sentiasa ingat bahawa penguatkuasaan bukanlah untuk meningkatkan hasil semata-mata, tetapi mendidik masyarakat agar patuh terhadap undang-undang yang telah ditetapkan demi kebaikan sejagat,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JPJ keluar lebih satu juta saman

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 1,028,387 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya di seluruh negara bagi tempoh awal Januari sehingga Oktober lepas.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut nilai saman, Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi), Zamakhshari Hanipah berkata, saman dikeluarkan itu melibatkan kesalahan utama seperti melanggar lampu isyarat, melebihi had muatan, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar.

“Kesalahan lain ialah memotong di garisan berkembar, memotong di sebelah kiri, menggunakan lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Selain itu, sebanyak 275,554 saman (jumlah ini tidak termasuk saman di atas) bagi kesalahan tidak mempunyai lesen memandu telah dikeluarkan sepanjang tempoh itu,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi bersepadu JPJ Kuala Lumpur yang dijalankan di Jalan Bangsar, di sini, awal pagi tadi.

Beliau berkata dalam operasi bersepadu itu, JPJ memeriksa lebih 2,500 kenderaan.

“Ekoran itu, sebanyak 812 saman dikeluarkan antaranya melibatkan cukai jalan tamat tempoh dan kesalahan memasang cermin gelap melebihi had yang ditetapkan.

“Selain itu, dalam operasi ini, 11 lelaki ditahan kerana dipercayai positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan,” katanya.

Pada masa sama, Jabatan Imigresen turut membuat pemeriksaan ke atas 19 warga asing dan menahan lima daripada mereka yang terdiri daripada seorang warga Bangladesh, Indonesia (2), India (1) dan seorang dari Sri Lanka kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Operasi bermula 8 malam itu melibatkan pegawai dan anggota JPJ, Jabatan Imigresen serta Agensi Antidadah Kebangsaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ cari pendekatan baharu tangani isu basikal lajak

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mencari pendekatan baharu bagi menangani isu basikal lajak yang semakin berleluasa di negara ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, JPJ secara dasarnya mempunyai peruntukan Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 yang memberikan kuasa kepadanya untuk menilai isu itu sebelum sebarang tindakan diambil.

“Dalam peraturan JPJ, setiap basikal yang berada di atas jalan raya hendaklah dikayuh secara beriringan, bersopan serta tidak melulu.

“Oleh itu, basikal yang dikayuh di atas jalan raya tanpa secara beriringan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai operasi bersepadu JPJ Kuala Lumpur di Jalan Bangsar, di sini, awal pagi ini.

Selain itu, dalam terma JPJ sesebuah basikal mestilah bersifat secara menyeluruh atau sempurna iaitu perlu mempunyai brek, loceng, lampu, rantai serta tayar yang bersesuaian.

“JPJ akan pergi secara teknikal dahulu dan sedang memikirkan pendekatan yang bersesuaian untuk memastikan bahawa kesejahteraan di atas jalan raya berhubung isu basikal lajak dapat ditangani secara menyeluruh dan advokasi,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata basikal lajak iaitu basikal yang diubah suai sehingga mendatangkan bahaya kepada penunggangnya dan pengguna jalan raya yang lain sememangnya haram berada di atas jalan raya.

Pada 29 Oktober lepas, media melaporkan satu klip rakaman video memaparkan sekumpulan remaja menunggang basikal lajak secara berbahaya yang tular di media sosial di Tasik Tambahan, Ampang, di sini.

Berikutan itu, perkara berkenaan mendapat respons daripada pihak polis yang menghantar anggota penguat kuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya untuk melakukan pemantauan di tasik berkenaan.

Hasil pemantauan berjaya membawa kepada penahanan empat buah basikal lajak bersama penunggang yang kesemuanya remaja lelaki tempatan berumur lingkungan 11 hingga 15 tahun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hasil bidaan JPJeBid cecah lebih RM16 juta

KOTA BHARU, 26 OGOS: Hasil kutipan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip lebih RM16 juta sejak ia diperkenalkan April lepas.

Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan Ibu Pejabat JPJ, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, nilai kutipan berkenaan melibatkan 14 siri bidaan melalui JPJeBid yang telah dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Johor.

“Untuk kali ini, kita lancarkan JPJeBid bagi negeri Kelantan dan Pahang dan kami menjangkakan ia dapat dilaksanakan di semua negeri sehingga penghujung November nanti,” katanya pada sidang media pelancaran JPJeBid di JPJ Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPJ Pahang, Muhammad Abdullah; Timbalan Pengarah merangkap Pemangku Pengarah JPJ Kelantan, Azhan Abdul Hadi; Timbalan Pengarah JPJ Pahang, Nazili Kadir; Ketua Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ Kelantan, Mohamad Apandi Jusoh dan Ketua Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ Pahang, Dasiman Mat Zain.

Pada majlis berkenaan, JPJ buat pertama kali melancarkan bidaan serentak melibatkan dua negeri iaitu nombor pendaftaran kenderaan Siri DDP bagi negeri Kelantan dan CEE bagi negeri Pahang melalui sistem JPJeBid.

Mohd Rusdi berkata, sistem yang diperkenalkan ini menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat tanpa campur tangan manusia.

Katanya, sistem bidaan bagi Siri DDP dan CEE akan dibuka selama lima hari bermula 30 Ogos nanti pada pukul 12 tengah malam sehingga 3 September pukul 11.59 malam dan keputusan bidaan akan diumumkan pada 4 September.

“Harga bidaan tersebut adalah mengikut kategori iaitu nombor bernilai utama RM20,000, nombor menarik RM3,000, nombor popular RM800 dan nombor biasa RM300.

“Setiap kategori tersebut akan menggunakan kadar kenaikan bidaan minimum sebanyak lima peratus mengikut harga nombor. Kaedah bayaran pula menggunakan kad kredit dan kad debit tempatan sahaja,” katanya.

Katanya, pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan kadar pendaftaran sebanyak RM10 dan setiap individu yang membida layak memenangi maksimum tiga nombor pendaftaran manakala pemilik perniagaan atau syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan.

Mana-mana nombor yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pengumuman yang dikeluarkan JPJ Negeri atau cawangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Lima penguat kuasa JPJ, bekas anggota SPAD hadapi 63 tuduhan rasuah

GEORGE TOWN, 24 JUL: Lima penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan seorang bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 63 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM73,600 daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Kesemua mereka turut berdepan 63 pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa balasan daripada pengarah syarikat sama bagi tujuan dan tindakan sama untuk melindungi pemandu lori berkenaan.

Lima penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 29 itu ialah Pemeriksa Kereta Motor, Ahmad Tajuddin Husin, 35; Pembantu Penguat Kuasa, Najib Mohamad Tarmizi, 32; Pembantu Penguat Kuasa, Ahmad Daniel Magendran Abdullah, 41; Pembantu Penguat Kuasa, Hasrol Sani Abu Bakar, 39; dan Pemeriksa Kereta Motor, Muhammad Airil Teo Abdullah, 31 tahun.

Turut didakwa ialah bekas Ketua Pembantu Penguat Kuasa SPAD, Ahmad Alamin Don, 33 tahun.

Pada prosiding hari ini, Ahmad Tajuddin berdepan dua pertuduhan utama dan pilihan melibatkan rasuah bernilai RM800; Najib didakwa atas empat pertuduhan utama dan pilihan membabitkan RM4,000; Ahmad Daniel dituduh atas 36 pertuduhan utama dan pilihan melibatkan RM51,050 dan Hasrol Sani berdepan lima pertuduhan utama dan pilihan rasuah bernilai RM9,100.

Sementara itu, Muhammad Airil Teo didakwa atas 12 pertuduhan utama dan pilihan dengan nilai rasuah sebanyak RM6,900 manakala Ahmad Alamin berdepan empat pertuduhan utama dan pilihan membabitkan rasuah bernilai RM1,750.

Kesemua individu tersebut mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan yang dihadapi mereka ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria yang mengambil masa hampir dua jam.

Mengikut pertuduhan utama, kesemua mereka didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka wang tunai daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport & Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd, Ooi Cheng Keat, 46, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat-syarikat terbabit yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa buah bank di Bukit Mertajam di sini antara Mac 2015 dan Jun 2018.

Kesemua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, kesemua tertuduh didakwa memperoleh untuk diri mereka suatu benda berharga tanpa balasan berupa wang tunai daripada Ong bagi tujuan yang melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap lori-lori milik syarikat Ong.

Untuk pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Selvaranjini menawarkan jaminan masing-masing antara RM10,000 dan RM35,000 dengan seorang dan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing antara RM5,000 dan RM25,000 dengan seorang dan dua penjamin serta memerintahkan pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes.

Peguam Datuk Naran Singh mewakili kesemua penguat kuasa JPJ itu manakala Ahmad Alamin tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki dan Pengarah SPRM negeri Datuk Wan Ramli Wan Abdullah turut hadir mendengar prosiding itu.

Pada 28 Mei lepas, lapan penguat kuasa JPJ dan seorang bekas anggota SPAD dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan sama.

Pendakwaan itu susulan penahanan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang pada Januari lepas selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini. – BERNAMA