Categories
NASIONAL

PDRM akur keputusan kerajaan berhubung peraturan baharu cermin gelap

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akur akan keputusan kerajaan berhubung peraturan baharu membenarkan cermin gelap bagi bahagian sisi penumpang dan belakang.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya menghormati keputusan berkenaan.

“Kami akur dan menghormati apa jua keputusan menteri (Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook) berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir memberikan juadah berbuka puasa kepada pegawai dan anggota trafik yang bertugas mengawal lalulintas di Jalan Tun Perak, di sini.

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Anggota Polis Trafik membaca doa sebelum berbuka puasa ketika bertugas mengawal lalu lintas di Jalan Tun Perak hari ini.
Pada waktu orang ramai meluangkan masa berbuka puasa bersama keluarga, anggota beruniform di seluruh negara terpaksa berbuka di lapangan atas tuntutan tugas demi menjaga keselamatan dan keselesaan orang ramai.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, peraturan baharu membenarkan cermin gelap bagi bahagian sisi penumpang dan belakang kenderaan dikekalkan walaupun dibantah pelbagai pihak termasuk polis.

Beliau berkata, pihaknya menghormati pandangan PDRM dalam soal risikan dan keselamatan, namun pindaan itu dibuat selepas mengambilkira pandangan daripada semua pihak termasuk polis.

Berkuatkuasa Rabu, penggunaan cermin gelap tanpa had atau gelap sepenuhnya dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan, berbanding peraturan sebelum ini menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak pada 30 peratus.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Putrajaya diminta hebah peraturan baru cermin gelap kenderaan

Oleh AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 OKT: Pengamal undang-undang, Zulhazmi Shariff meminta Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai atau Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad menghebahkan kandungan peraturan baru cermin gelap kenderaan yang akan dikuatkuasakan 1 November nanti.

Hal ini kerana para pengguna dan pemain industri harus diberikan ruang masa dan maklumat terperinci berkaitan peraturan baru tersebut sebelum dilaksanakan.

“Saya juga ingin menyatakan bahawa sehingga hari ini setelah Ketua Pengarah JPJ menyatakan bahawa JPJ akan mula melaksanakan peraturan baru tersebut, tiada sebarang hebahan atau siaran kepada awam apakah isi peraturan baru tersebut.

“Harus diambil perhatian bahawa setiap peraturan yang hendak dilaksanakan atau dikuatkuasakan mestilah diwartakan.

“Kegagalan mewartakan peraturan akan menyebabkan peraturan tersebut tidak sah dan melanggar undang-undang negara malah akan memberi kesan yang teruk kepada para pengguna dan pemain industri,” katanya.

Hasil carian di Portal Rasmi E-Warta Persekutuan (http://www.federalgazette.agc.gov.my/) mendapati tiada sebarang maklumat tentang pewartaan peraturan baru tersebut.

Jelasnya, kenyataan yang menyebut berhubung peraturan membenarkan kadar ketelusan cahaya bagi cermin depan ialah 70 peratus, 50 peratus cermin sisi pemandu, 30 peratus cermin sisi penumpang belakang dan 30 peratus cermin belakang disifatkan tidak lengkap dan tidak jelas.

“Kalau mahu kuatkuasa peraturan baru, perlu siarkan dan hebahkan keseluruhan peraturan baru untuk dilihat & diteliti oleh masyarakat. Bukan setakat sebut sebaris saja,” ujarnya lagi.

Difahamkan, peraturan baru ini adalah hasil Bengkel Kajian Penggunaan Cermin Gelap Kenderaan yang telah diadakan selama dua (2) hari di Hotel Holiday Inn Glenmarie Subang pada 2 dan 3 Jun 2014 yang lalu.

Beliau turut mencadangkan agar kaedah perlaksanaan dan penguatkuasaan juga dikaji semula dan diselaraskan di antara semua agensi penguatkuasa iaitu JPJ dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menyentuh soal hukuman kepada pesalah yang melibatkan hukuman penjara beliau menyarankan supaya ia dimansuhkan bahkan meminda hukuman lama kerana kesalahan menggunakan cermin gelap bukan kesalahan jenayah berat.

Mengikut peraturan sedia ada, pesalah boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 iaitu kompaun maksima RM300.

Jika didapati bersalah di mahkamah boleh dihukum dengan denda tidak melebih RM500 atau penjara tidak melebihi dua (2) minggu bagi kesalahan pertama manakala denda tidak melebihi RM1000 atau penjara tidak melebihi sebulan bagi kesalahan kedua atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

HM

Categories
NASIONAL

Cadangan baru cermin gelap berakhir di Glenmarie?

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM, 11 JUN: Kerajaan Pusat digesa memberikan penjelasan berhubung status terkini penggunaan cermin gelap sama ada menggunakan kaedah lama atau baru sedangkan operasi besar-besaran polis akan bermula 16 Jun ini.

Timbalan Pengarah Badan Mobilisasi Rakyat, Zulhazmi Shariff, berkata carian di portal rasmi E-Warta Persekutuan masih tidak kelihatan pewartaan kaedah baru yang bermaksud hasil kajian bengkel dijalankan baru-baru ini.

Katanya, tindakan kerajaan melengahkan pengumuman dan pewartaan kaedah baru itu memberikan kesan kepada pengguna khususnya pemilik kenderaan.

operasi-cermin-gelap“Jika kerajaan umumkan dalam masa yang hampir dengan tarikh perlaksanaan operasi polis, maka pengguna akan bersesak-sesak ke kedai aksesori,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Katanya, beliau mempersoalkan tindakan kerajaan mengambil masa terlalu lama sedangkan Timbalan Menteri Pengangkutan menyatakan hasil bengkel terus dipanjangkan kepada menteri untuk perhatian dan jika dipersetujui akan dilaksanakan serta-merta.

Pada 15 Mei lalu, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, SAC Mohd Fuad Abd Latif memaklumkan bahawa suatu operasi besar-besaran berkenaan penggunaan cermin gelap akan mula dilakukan pada 16 Jun ini.

Beliau seterusnya memberikan amaran kepada pemilik kenderaan supaya mematuhi peraturan sedia ada iaitu Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 yang membenarkan kegelapan cermin hadapan kenderaan 30 peratus dan cermin selainnya 50 peratus yang mana kegagalan mematuhinya akan dikenakan tindakan.

Ekoran daripada itu, timbul pelbagai reaksi daripada pengguna dan persatuan yang berkepentingan.

Pada penghujung bengkel Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi memaklumkan bahawa semua cadangan dan maklum balas akan dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan untuk diambil tindakan.

zulhazmi-shariffHasil bengkel itu antaranya mengesyorkan supaya kadar ketelusan cahaya (VLT) untuk cermin sisi penumpang belakang dan cermin belakang dikurangkan kepada 30 peratus berbanding VLT asal 50 peratus, manakala ketelusan cermin hadapan kekal 70 peratus.

“Pengguna dan pemilik kenderaan masih menunggu apakah keputusan kerajaan. Di mana ia akan berakhir, adakah hasil bengkel ini hanya berakhir di Glenmarie, jadi sama-sama kita tunggu,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Peguam: Disaman cermin gelap, boleh cabar di mahkamah

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MEI: Pemilik kenderaan yang disaman Polis dalam operasi cermin gelap sebelum 16 Jun disarankan ke mahkamah untuk mencabar saman berkenaan.

Hal ini kerana, saman bukan bermaksud perlu membuat bayaran kerana polis sendiri perlu membuktikan kesalahan berkenaan.

cerminPenasihat guaman Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff, berkata beliau mempertikaikan tindakan Polis yang mula mengeluarkan saman terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan cermin gelap sedangkan tindakan itu sepatutnya bermula 16 Jun ini.

Katanya, pada 15 Mei Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman SAC Mohd Fuad Abdul Latif dalam kenyataan media berkata pihak Polis memberikan tempoh sehingga 15 Jun ini kepada pemilik kenderaan menggunakan cermin gelap supaya menukar kepada cermin mengikut spesifikasi betul.

“Tiba-tiba malam semalam/ malam kelmarin polis buat operasi saman 23 orang kes cermin gelap apa cerita? itu sahaja.

zulhazmi-shariff“Isu cermin gelap ini tidak ada masalah kerana ia ada peraturan. Kaedah-kaedah kenderaan, jenis-jenis cermin dan dia boleh kuatkuasakan peraturan itu.

“Cermin depan depan ketelusan (cahaya) 70 peratus dan cermin lain 50 peratus. Itu tiada masalah, cuma orang ramai bermasalah dari segi peratusan tersebut,” katanya kepada Selangor Kini.

Katanya lagi, antara perkara lain yang dibangkitkan adalah mengenai prosedur pemeriksaaan cermin gelap yang dilakukan di malam hari.

“Kalau kalau polis tidak ikut (prosedur) kepada orang-orang yang kena saman jangan bayar. Pergi lawan di mahkamah.

“Sebabnya walaupun kita salah tetapi polis yang mengambil tindakan tanpa mengikut undang-undang turut salah, tidak timbul soal kita nak lawan peraturan,” jelasnya lagi.

EZY