Categories
NASIONAL

Islami Sangh Nepal berdakwah sambil hulur bantuan

Oleh: AFEEQA AFEERA

KATHMANDU, 3 JUN: Populasi rakyat Nepal beragama Islam yang rendah di negara itu mendorong badan bukan kerajaan (NGO), Islami Sangh Nepal (ISN) berusaha menarik lebih ramai mendekati Islam.

Pelbagai cara dilakukan termasuk berdakwah ketika menghulurkan bantuan kepada mangsa kejadian gempa bumi yang menimpa ibu negara Nepal, Kathmandu pada April dan Mei lalu.

Presidennya, Nazrul Hussain Falahi, berkata hanya 4.42 peratus rakyat negara itu beragama Islam berbanding 27 juta populasi penduduk secara keseluruhannya sehingga kini.

IMG_20150602_173239“Kami percaya ada peluang bagus untuk menarik lebih ramai rakyat Nepal mendalami Islam jika usaha bersungguh-sungguh dilakukan.

“Usaha ini turut dipermudahkan melalui kerjasama dengan NGO lain seperti Muslim Care Malaysia Society dalam menjayakan misi mengislamkan lebih ramai rakyat Nepal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama wakil NGO Islam Malaysia ke Kathmandu yang diketuai Exconya, Mohd Johari Ismail.

Ketika ini, Nepal didominasi agama Hindu dengan 80 peratus populasi manakala selebihnya adalah Buddha, Kristian dan lain-lain.

IMG_20150602_173152Sementara itu, ketika mengulas berkenaan bantuan yang disampaikan kepada mangsa gempa bumi, Nazrul berkata 35,000 keluarga sudah menerima pelbagai jenis sumbangan.

Antara bantuan yang diberikan adalah makanan, khemah, selimut dan tilam serta perubatan.

“ISN turut menyumbangkan ubat-ubatan kepada tiga hospital iaitu Hospital Biro, Hospital Paten dan Pusat Kesihatan Komuniti serta pertubuhan perubatan lain.

“Bantuan ini turut melibatkan gabungan 31 NGO lain termasuk sumbangan daripada orang awam,” katanya.

Kira-kira 16 daripada 75 daerah di Nepal terjejas teruk ekoran kejadian gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter yang melanda negara itu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.