Categories
NASIONAL

TPPA survival politik Najib

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 OKT: Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Dr Fahmi Ngah menyifatkan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan digunakan sebaiknya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memanjangkan hayat politiknya.

Katanya, kesempatan itu juga akan digunakan sepenuhnya Amerika Syarikat untuk memperbaiki kedudukan selaku rakan dagang Malaysia terutama ketiadaan perkongsian butiran lengkap perjanjian kepada umum yang menyukarkannya dibincangkan secara ilmilah, bahkan impak yang berlegar kini lebih kepada spekulasi.

Dr Fahmi Ngah“Perdana menteri akan gunakan sepenuhnya perjanjian itu untuk memanjangkan hayat politiknya. Yang pasti, kalau kita tengok rakan dagang Malaysia iaitu pertama adalah Singapura, kedua, China dan Amerika Syarikat kelima.

“Apabila (perjanjian) ditandatangan, nilai perkongsian Malaysia dan Amerika Syarikat bertambah. Berkemungkinan nilai perkongsian perdagangan dengan negara lain akan menurun.

“Keadaan itu akan melonjakkan kedudukan Amerika Syarikat dalam kedudukan rakan dagang bersama Malaysia,” katanya kepada Selangor Kini.

Fahmi berpandangan, perkara itu jelas kerana sehingga kini masih belum ada contoh negara yang makmur hasil daripada perjanjian berkenaan yang sudah pasti bakal memberi kesan postitif dan negatif antara negara sekutu.

“Saya beri contoh Malaysia mempunyai dodol yang unik. Kalau boleh tembus pasaran antarabangsa, kita tidak perlukan TPPA kerana kalau dia (Amerika Syarikat) nak beli, maka akan beli,” katanya.

tppaBeliau berkata, perjanjian itu juga tidak memberikan jaminan kedudukan nilai matawang ringgit akan kekal kukuh selepas ia ditandatangani.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mewakili Malaysia dalam rundingan TPPA, berkata butiran perjanjian akan dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan bagi mendapatkan persetujuan semua.

Katanya, rumusan perbincangan terbaru bersetuju untuk mempertimbang hampir semua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan rakyat negara ini.

Ia membabitkan bidang pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan isu bumiputera dengan Malaysia diberikan kelonggaran untuk tempoh peralihan yang lebih lama serta rawatan yang berbeza membabitkan kawasan sensitif negara.

Selain Malaysia dan Amerika Syarikat, rundingan TPPA membabitkan 10 negara lain iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.