Categories
NASIONAL

Halang Azmin, ‘drama besar’ Adenan selindung kegusaran – Xavier

OLEH NAEEM RAFFI

KUCHING, 6 MEI : Naib Presiden KEADILAN, Dr Xavier Jayakumar menyifatkan tindakan menghalang pemimpin Pakatan memasuki Sarawak sebagai ‘drama besar’ Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem yang menyalahguna kuasa dengan menjadikan autonomi sebagai alasan.

Katanya, penahanan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali daripada memasuki Sarawak pagi tadi jelas mencerminkan kegusaran pemerintah terhadap kemaraan KEADILAN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

xavier-jayakumar“Di penghujung waktu berkempen, Mohamed Azmin dihalang masuk atas alasan apa?

“Kalau autonomi menjadi alasan pemerintah, ini adalah sebuah ‘drama besar’ kerana mereka melaungkan demokrasi, beri masa berkempen tetapi sekat pemimpin politik untuk masuk Sarawak,” katanya ketika ditemui SelangorKini di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, pagi tadi.

Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden KEADILAN dihalang memasuki Sarawak sehingga tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.

Beliau yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, jam 10.10 pagi tadi ditahan di kaunter pemeriksaan imigresen dan diarahkan pulang serta merta dengan penerbangan ke KLIA, jam 10.50 pagi.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Zakaria Abdul Hamid yang tiba bersamanya dibenarkan masuk.

Dalam satu kenyataan, Mohamed Azmin menggesa Adenan bertanggungjawab terhadap situasi itu.

“Seperti saya sebut seminggu lalu, pendirian angkuh Adenan terhadap rakan senegaranya ini adalah tindakan melampaui batas dan ia mempamerkan wajah sebenar beliau yang menggunakan kuasa eksekutif secara sesuka hati.

“Adenan perlu bertanggungjawab terhadap situasi yang amat dikesali ini. Pada masa sama, saya bersimpati dengan beliau kerana terpaksa menggunakan taktik sebegini dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak,” katanya.

Mohamed Azmin sebelumnya dijadualkan menghadiri beberapa sesi Walkabout bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang, Voon Shiak Ni sebelum menghadiri ceramah Grand Finale di Dun Serembu, kira-kira jam 7.30 malam ini.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.