Categories
NASIONAL

Umno ‘aneh’ serang BERSATU jadikan DAP ‘hantu’

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 16 OGOS: Cubaan Umno merancakkan serangan bertalu-talu ke atas parti baru BERSATU dengan menakut-nakutkan masyarakat Melayu disifatkan sebagai suatu yang aneh.

Presiden Penaja BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Umno juga terdesak sehingga menjadikan DAP sebagai ‘hantu’ paling menggerunkan dengan mengaitkan kerjasama politik (BERSATU-DAP) tidak akan memberi manfaat kepada Melayu.

“Tidak sampai seminggu saya mengemukakan permohonan kepada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk menubuhkan BERSATU, serangan terhadap parti yang belum lagi ditubuhkan ini datang bertalu-talu daripada pemimpin UMNO. Terbaharu ialah daripada Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

“Aneh juga sebuah parti yang belum lahir ini mendapat perhatian daripada Najib. Parti ini belum ada ahli dan tidak ada cawangan. Ia hanyalah parti serpihan umpama parti nyamuk.

“Belum apa-apa lagi Najib telah melompat. Orang putih kata ‘jump the gun’,” katanya menerusi laman Facebook.

Terdahulu, Najib ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi mempersoalkan keupayaan BERSATU membela nasib Melayu dengan mengaitkan hubungan parti itu dengan DAP.

MUHYIDDINMenyifatkan ia sebagai kenyataan tidak bertanggungjawab dan pra-matang, Muhyiddin sudah menyangka taktik kotor itu akan digunakan Najib dan konconya untuk mengalihkan perhatian rakyat khususnya Melayu daripada segala kesalahan dan kemungkaran pentadbiran Najib.

“Mereka akan terus berkata DAP musuh utama sambil mengajak Melayu untuk terus mempertahankan Najib yang terpalit dengan skandal kewangan paling buruk dalam sejarah bangsa Melayu.

“Sudah-sudahlah. Saya yakin Melayu tidak mudah terpengaruh dengan tipu daya Najib dan konco-konconya. Saya tahu orang Melayu walaupun diam tetapi mereka bijaksana,” katanya.

Membalas tuduhan itu, Muhyiddin berkata, BERSATU komited memperkasa agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa, sekali gus mewujudkan amalan tadbir urus baik dan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti.

“Ini adalah kelemahan utama pentadbiran Najib. Rasuah bermaharajalela, penyelewengan berleluasa dan pecah amanah menjadi amalan biasa.

“Ini menyebabkan kerajaan pimpinan beliau tidak popular dan amat tidak disenangi rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.