Categories
NASIONAL

BERSIH 5: Tun M mungkin tidak hadir

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 17 NOV: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin tidak menyertai perhimpunan aman BERSIH 5, Sabtu ini ekoran pada tarikh sama beliau dijadualkan ke luar negara.

Menerusi wawancara bersama radio atas talian, Radio Bangsar Utama semalam, beliau menzahirkan sokongan terhadap perhimpunan itu.

“Pada 19 November ikut perancangan yang telah dibuat lama sebelum ini, saya berada di luar negara.

“Ia untuk membersihkan pilihan raya dan jika pilihan raya tidak bersih maka ia tidak bermakna,” katanya yang turut menyeru orang ramai tidak kira parti turun menyertai BERSIH 5.

Terdahulu, Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, perhimpunan Sabtu ini bukanlah perhimpunan yang menjanjikan huru-hara sebaliknya bertujuan mendidik dan menyampaikan mesej perubahan kepada rakyat seluruh pelosok negara.

“Itu sebabnya kenapa kita adakan konvoi menelusuri segenap ceruk kampung dan pekan, agar rakyat Malaysia tahu dan tidak terus tertipu,” katanya dalam kenyataan semalam.

maria chinTidak menolak kemungkinan perhimpunan Sabtu ini berdepan provokasi hebat daripada kumpulan Baju Merah, Maria mengingatkan semua pihak bahawa perhimpunan Sabtu ini bukanlah seperti sebuah perlawanan bola sepak antara pasukan merah melawan pasukan kuning.

Sebaliknya, peserta BERSIH 5 turun ke jalan raya bagi membantah rasuah dan salahguna kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam skandal mega yang telah memberi gelaran ‘kleptokrasi’ kepada negara.

“Kita berhimpun Sabtu ini untuk sebuah ‘Malaysia Baru’. Kita tidak perlu takut untuk menuntut perubahan, untuk memperbaiki negara yang kian rosak.

“Kita tidak perlu takut dengan Jamal dan samseng-samsengnya,” katanya.

-nR-