Categories
NASIONAL

Segerakan perbincangan KL-Pyongyang demi keselamatan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Malaysia sepatutnya mengutamakan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara dengan mengadakan perbincangan segera antara Kuala Lumpur-Pyongyang bagi membolehkan mereka pulang.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, soal keselamatan itu adalah perkara keutamaan ketika ini sementara langkah menjernihkan hubungan dua hala kedua-dua negara boleh difikirkan kemudian.

“Kerajaan dilihat tidak sepakat dalam menangani kirisi ini dengan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Luar (Datuk Seri Anifah Aman), Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak senada.

Tian-Chua“Sementara Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) lebih mengutamakan penyiasatan terhadap identiti terbunuh dan mengambil sikap agresif terhadap kerajaan Korea Utara. Ini tidak membantu dalam menyelesaikan ketegangan,” katanya.

Beliau berpendapat Malaysia memerlukan bantuan negara ketiga seperti China atau negara neutral untuk memainkan peranan selaku orang tengah bagi mencari penyelesaian supaya keadaan tidak berlarutan lebih lama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam dilaporkan berkata, rundingan rasmi antara Malaysia dan Korea Utara hanya akan dilakukan dalam masa terdekat.

Kerajaan Korea Utara pada 7 Mac lalu dilaporkan mengeluarkan larangan sementara ke atas 11 rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.

Namun, dua rakyat Malaysia Stella Lim serta Nyanaprakash Muniandy dibenarkan meninggalkan Korea Utara selang dua hari kemudian dan kini dilaporkan berada di Beijing.

-nR-