Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Lantikan Menteri Tugas Khas Hishammuddin imbau kisah Anwar dipecat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 APRIL: Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution membayangkan wujudnya gelombang besar bakal berlaku membabitkan kepimpinan tertinggi Umno Barisan Nasional (BN).

Ia susulan pelantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas, di Jabatan Perdana Menteri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Saifuddin berkata, situasi sama pernah berlaku ketika pentadbiran Tun Mahathir Mohamad yang melantik Tun Daim Zainuddin dalam kabinet yang akhirnya menyebabkan penyingkiran orang nombor dua dalam pentadbiran negara ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini mengingatkan saya pada tahun 1997 apabila negara mengalami krisis kewangan, Tun Mahathir melantik Tun Daim sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas.

“Tidak lama selepas itu, berlaku peristiwa terbesar dalam politik iaitu penyingkiran Anwar, jadi saya melihat perkembangan ini sama.

“Cuma yang membezakan waktu itu Tun Daim tidak lagi berada dalam kabinet tetapi Hishammuddin adalah sebagai Menteri Pertahanan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Bagaimanapun, Saifuddin tidak merujuk nama individu tertentu yang ‘diramal’ bakal mengalami situasi sama sebagaimana Anwar yang mencetuskan gelombang Reformasi 1998 selepas disingkirkan.

Namun wujud spekulasi, lantikan ini memberi kesan kepada kedudukan dan bidang kuasa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam kenyataannya tengah hari ini memaklumkan lantikan Hishamuddin berkuatkuasa hari ini.

Pada masa sama, Hishammuddin turut menjalankan tugasnya sebagai Menteri Pertahanan.

=EZY=