Categories
NASIONAL

Doktor gigi palsu, awas jangan tertipu

SHAH ALAM, 1 MEI Kewujudan doktor gigi palsu dan perkhidmatan pergigian haram yang semakin berleluasa di negara ini semakin membimbangkan dan lebih meruncing apabila masyarakat kurang kesedaran tentangnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan memandang serius masalah terbabit apabila kebelakangan ini Kementerian Kesihatan kerap menerima aduan pesakit mengalami komplikasi serius susulan mendapat perkhidmatan haram itu.

Katanya, antara rawatan perkhidmatan haram itu adalah mencabut gigi, membuat gigi palsu, ortodontik, penskaleran dan penggilapan gigi (cuci gigi) dan “whitening strips”.

”Kementerian Kesihatan kesal kerana orang ramai kurang kesedaran, tidak tahu orang yang menyediakan perkhidmatan pergigian itu tidak diiktiraf.

SUBANG JAYA 11 AUGUST 2016. Director-General of Health, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah speech during 19th Family Medicine Scientific Conference at Grand Dorsett Subang. NSTP/ASYRAF HAMZAH“Pesakit terbabit boleh mengalami kesakitan dan jangkitan seperti ulser mulut, gigi longgar atau rosak, gusi bengkak dan bernanah, selain berisiko dijangkiti AIDS dan hepatitis, jika peralatan yang digunakan tidak disteril dengan baik,” katanya lapor Sin Chew Daily.

Hisham berkata, 46 aduan rawatan pergigian haram diterima Kementerian Kesihatan membabitkan 10 kes pada 2015, 28 kes pada 2016 dan lapan kes setakat Mac lalu.

Dr Hisham berkata, sebanyak 18 kes dihadapkan ke mahkamah sejak 2015 sehingga kini, dengan kes terbaru berlaku pada 30 Mac lalu membabitkan wanita warga Indonesia yang tidak berkelayakan didenda RM300,000 oleh mahkamah kerana membuka klinik pergigian haram di Johor.

Beliau menasihatkan orang ramai melayari laman web http://dpims.moh.gov.my untuk mengetahui kelayakan doktor gigi itu sebelum mendapatkan rawatan pergigian.

Ini kerana, katanya, hanya doktor gigi yang diiktiraf dan berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia boleh memberi rawatan kepada orang ramai di bawah Akta Pergigian 1971.