Categories
SELANGOR

MBPJ PBT ketiga lafaz Ikrar Bebas Rasuah

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 16 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke tiga melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, inisiatif terbabit diambil sebagai peringatan kepada warga kerja MBPJ dalam mengamalkan budaya integriti dan akauntabiliti melaksanakan tanggungjawab menjayakan sistem penyampaian kumpulan sasaran.

Katanya, MBPJ perlu sentiasa memastikan segala perbelanjaan pengurusan dan operasi serta bayaran perolehan diurus dengan betul dan teratur.

DSC_7249“Lebih penting, warga kerja perlu mengelakkan pembaziran dalam perbelanjaan dan menghindarkan diri daripada terbabit dalam penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan.

“IBR ini memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat untuk memperkasakan agenda pengurusan integriti dalam kalangan penjawat awam supaya lebih bertanggungjawab melaksanakan tugas dan menjauhkan diri dari rasuah,” katanya di perhimpunan bulanan dan IBR MBPJ, di sini.

Mohd Azizi berkata, sifat keterbukaan dan kebertanggungjawab yang dipamerkan MBPJ dalam menandatangani IBR membuktikan usaha membanteras serta memerangi rasuah bukan tanggungjawab eksekutif semata-mata.

“Kita amat terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman serta anasir luar yang boleh merosakkan kewibawaan semasa menjalankan tugas

“Saya berharap warga kerja MBPJ melakukan perkara baik tanpa perlu dipantau sentiasa. Peliharalah integriti sebagai penjawat awam kerana tanpa integriti maka sia-sia ikrar yang dilaungkan,” katanya.