Categories
SELANGOR

Program keusahawanan PKNS jana perolehan RM233.5 juta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MEI: Program keusahawanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan menjana perolehan RM233.5 juta membabitkan 408 peserta sejak diperkenalkan.

Empat program itu ialah Graduate Realizing Opportunities Way Forward (Grow) diwujudkan sejak 2006, Vendor Inkubator Payung (1996), Sub Kontraktor Bumiputera (2003) dan yang terbaharu untuk tahun ini adalah program Pemantapan lima Usahawan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Noraida Mohd Yusof berkata, daripada jumlah perolehan itu, Grow yang disertai 243 peserta mencatatkan hasil jualan keseluruhan syarikat RM16.5 juta.

“Sehingga 2016 sahaja, program pembangunan keusahawanan PKNS berjaya menjana pendapatan kira-kira RM233.5 juta menerusi program Grow (RM16.5 juta), Vendor Inkubator Payung (RM125 juta) dan Sub Kontraktor Bumiputera, RM92 juta,” katanya di Majlis Pentauliahan dan Graduasi Usahawan PKNS, di sini, baru-baru ini.

Noraida berkata, PKNS akan terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan usahawan di Selangor selain mengilhamkan pelbagai program dengan menumpukan kepada aspek pembudayaan, pembangunan, pemantapan dan jaringan perniagaan.

Katanya, PKNS berharap dapat menyuntik inspirasi kepada usahawan bagi mengekalkan momentum dalam mencapai kejayaan bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa.

“PKNS akan meneruskan lagi program pembangunan usahawan dan mengenal pasti ruang penambahbaikan agar usaha pembangunan usahawan ini akan mencapai matlamatnya,” katanya.

Seramai 80 usahawan ditauliahkan dalam majlis yang julung kali dianjurkan perbadanan itu bertujuan meraikan pencapaian peserta menerusi empat program keusahawanan yang dibangunkan PKNS.

PKNS mula menyemai semangat keusahawanan untuk Bumiputera Selangor sejak 1995 dengan penubuhan Sekretariat Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang kemudian dijenamakan semula sebagai Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) pada 2010.

Sebanyak 14 program dirangka BPU PKNS sejajar Dasar Ekonomi Baru membentuk usahawan Bumiputera berkualiti dan berdaya saing.

Categories
NASIONAL

Tabung Biasiswa PKNS RM1 Juta Untuk Kakitangan Dan Ahli Keluarga

PKNS pelajar cemerlang 02

SHAH ALAM, 18 MEI : Kakitangan dan keluarga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang mahu melanjutkan pelajaran kini boleh memohon daripada Tabung Biasiswa PKNS.

PKNS pelajar cemerlang 01

Dengan peruntukan RM1 juta, tabung berkenaan bagi membantu anak anggota PKNS mengikuti ijazah sarjana muda sepenuh masa sementara bagi anggota pula, mereka ditawarkan melanjutkan pelajaran di peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah lanjutan dan kursus profesional sepenuh masa atau secara sambilan.

Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran dan Pembangunan PKNS, Noraida Mohd Yusof berkata, peluang ini perlu dimanfaatkan sebaiknya terutama dalam menimba ilmu tambahan bagi memantapkan lagi kemahiran sedia ada.

“Melalui Tabung Pendidikan Anak-anak syarikat dan Badan Berkanun Kerajaan Negeri Selangor atau TPASBB pula, PKNS sendiri memperuntukkan sebanyak RM2 juta yang juga boleh dimohon oleh anggota mahupun anak mereka untuk melanjutkan pelajaran.

“Semoga ia dapat dijadikan pendorong untuk mereka mencapai kejayaan berterusan dalam pelajaran seterusnya mencapai cita-cita yang diidamkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang 2012 Anak Anggota PKNS di Dewan Kemajuan, Kompleks PKNS.

Sebelum itu, PKNS menerusi Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja (PKP) dan Badan Islam memperuntukkan sejumlah RM45,000 untuk hadiah saguhati kepada 123 orang anak-anak ahli termasuk dua ahli persatuan.

Kesemua mereka diraikan kerana memperolehi keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Agama (PSRA), Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pengajian di peringkat Diploma serta Ijazah Sarjana Muda.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran dan Pembangunan PKNS, Noraida Mohd Yusof serta wakil PKP dan Badan Islam.

Pelajar cemerlang menerima wang saguhati antara RM50 hingga RM750 seorang.

Hadiah saguhati ini diberikan berdasarkan kategori peperiksaan yang diambil serta jumlah A yang diperolehi.

Antara pencapaian terbaik anak-anak ahli ialah 9A+ dalam SPM, 9A dalam PMR dan 5A dalam UPSR/PSRA.

Dalam pada itu, penerima anugerah cemerlang Ahmad Zahir Abu Bakar, 20, yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengingatkan anak muda yang masih menuntut ilmu agar menjaga hubungan dengan Allah dan ibu bapa agar memperolehi keberkatan dalam bidang yang diceburi.

Ahmad Zahir yang kini sedang mengikuti bidang perakaunan di peringkat ijazah pernah menerima Anugerah Naib Cancelor (Anugerah Dekan) di peringkat diploma dalam bidang sama.

Categories
SELANGOR

OKU Gembira Terima Skim Rumah Mampu Milik Selangor Pertama

RMM bangi surat tawaran 01

BANGI, 15 DIS: Seorang warga kurang upaya (OKU), Razali Adnan, meluahkan perasaan gembira dan syukur kerana penantiannya untuk memiliki rumah sendiri kini hampir terlaksana selepas menerima surat tawaran Rumah Mampu Milik (RMM).

Katanya, RMM menawarkan unit rumah dan rekabentuknya mengambil kira keperluan golongan OKU sepertinya seperti tandas yang luas dan unit yang terletak di aras bawah kompleks pangsapuri itu.

“Proses memohon RMM ini mudah dan ianya tidak memerlukan karenah birokrasi seperti yang diamalkan Kerajaan Negeri dahulu,” katanya yang kini bergantung sepenuhnya kepada isterinya yang bekerja sebagai peniaga.

Unit yang bakal siap pada Julai tahun depan merupakan RMM pertama Kerajaan Negeri dan dibina anak syarikat Kerajaan Negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Razali ditemui pemberita selepas menerima surat tawaran pemilikan RMM yang disampaikan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad di perkarangan Kompleks PKNS Bangi di sini hari ini.

Turut hadir, Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar PKNS (Pentadbiran dan Pembangunan), Noraida Mohd Yusof.

RMM bangi surat tawaran 02

Seramai 112 orang menerima surat tawaran RMM selepas disenarai pendek oleh Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) selepas mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Antara syaratnya adalah gaji isi rumah pemohon mestilah diantara RM 2,500 sehingga RM 5,000 sebulan serta tidak pernah memiliki rumah sendiri.

Sebanyak 124 unit pangsapuri enam tingkat yang terletak di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi ditawarkan pada harga mulai RM 60,000 sehingga RM1 44,000 seunit.

PKNS telah membelanjakan subsidi sebanyak RM 12 juta bagi projek itu yang mula dibangunkan pada tahun 2011.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima, Hazhari Ismail, 33, memuji usaha Kerajaan Negeri yang menyediakan RMM dengan harga berpatutan serta mampu dimiliki golongan berpendapatan sederhana sepertinya.

“Kerajaan Negeri sekarang bagus kerana prihatin mengenai beban dan permasalahan yang ditanggung rakyat dan saya berharap usaha ini diteruskan dan diperluaskan di masa akan datang,” katanya yang bekerja sebagai Pembantu Am Pejabat di Putrajaya.

Sementara itu, Iskandar dalam satu sidang media berkata, Kerajaan Negeri menggalakkan lebih ramai pemaju swasta terlibat dalam membina RMM di masa akan datang supaya setiap rakyat dapat memiliki rumah sendiri.

“Bagi Fasa 1 dan Fasa 2, PKNS mensasarkan sebanyak 11 ribu unit RMM dan saya galakkan lebih ramai pemaju lain turut membina RMM di masa akan datang,” katanya.

Jesteru itu, terdapat sebuah pemaju swasta turut menyediakan sebanyak 136 unit RMM di Sungai Long, Kajang yang dijadualkan siap pada Julai 2013.

Iskandar berkata, sebuah lagi anak syarikat, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) turut bercadang untuk membina sebanyak 300 unit RMM yang terletak di Sabak Bernam pada masa akan datang.

Categories
SELANGOR

PKNS Rai 151 Pelajar Cemerlang

SHAH ALAM 24 APRIL :Ahmad Adib adalah antara 151 anak-anak anggota Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menerima hadiah peringkat SPM, di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2011 peringkat UPSR, SRA, PMR, SPM, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana anjuran PKNS, Sabtu lalu.

Sikap tidak memilih rakan dan tidak lupa dengan amalan keagamaan merupakan rahsia kejayaan Ahmad Adib Zainuddin, 17, berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol, Negeri Sembilan itu berjaya memperolehi gred A bagi kesemua 11 mata pelajaran dalam SPM yang diambilnya.

Walaupun beliau berasa ketinggalan semasa berada di tingkatan empat dan lima kerana tidak dapat memperolehi lebih daripada 3A dalam peperiksaan pertengahan tahun, tetapi beliau tetap gigih berusaha untuk mengejar kejayaan itu.

Sedar dengan keadaan itu katanya, beliau memulakan kembali amalan-amalan sunat yang dibuat dahulu ketika mencapai keputusan 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Katanya, beliau gemar mengulangkaji pelajaran bersama rakan yang pandai dan sederhana supaya dapat berkongsi ilmu dengan mereka.

“Saya tidak gemar memilih-milih kawan kerana mungkin orang yang kita tidak mahu berkawan itu doanya lebih makbul,? katanya.

Beliau yang bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir itu juga menyifatkan dorongan daripada kedua ibu bapa, guru dan rakan-rakan serta kejayaan kakak dan abangnya memberi inspirasi kepada beliau untuk berusaha bersungguh-sungguh.

“Saya juga berterima kasih kepada PKNS di atas penghargaan seperti ini yang nyata dapat memberi motivasi kepada anak-anak anggota PKNS untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan,” katanya.

Turut menerima penghargaan ialah, 6 anggota PKNS yang tamat pengajian Diploma hingga Sarjana.

Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2011 anjuran PKNS dan syarikat anak itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran dan Pembangunan), Noraida Mohd Yusof dan ahli-ahli pengurusan PKNS.

Setiap penerima yang diraikan menerima wang tunai mengikut kategori peperiksaan iaitu antara RM50 hingga RM750 seorang. Jumlah keseluruhan sumbangan ialah sebanyak RM64,800.

Categories
SELANGOR

PKNS Berjaya Selesaikan Projek Penempatan Di Bukit Botak

SHAH ALAM 18 APR : Setelah lebih 20 tahun terbengkalai, penduduk yang terlibat dengan projek penempatan semula di Bukit Botak kini mampu menarik nafas lega apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya membina 1,422 unit kediaman berkembar.

Menurut Timbalan Pengurus Besar, Noraida Mohd Yusof projek yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini dibangunkan setelah Kerajaan Negeri berjaya mengambil alih tanah kawasan berkenaan.

“PKNS kemudiannya diberi amanah untuk meneruskan projek tersebut menggantikan sebuah syarikat pemaju swasta.

“Alhamdulillah, sehingga kini hampir 72 peratus siap dibina dan kita bersedia untuk menjalankan majlis cabutan undian unit rumah yang bakal diduduki untuk 707 orang yang layak pada Sabtu ini dengan kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” jelas Noraida dalam sidang media yang diadakan di Menara HPAIC di sini.

Mengulas dakwaan bahawa PKNS tergesa-gesa ingin menyempurnakan undian unit rumah projek terbabit, beliau berkata dakwaan liar tersebut tidak menjejaskan usaha PKNS menyiapkan projek mengikut jadual.

“Dakwaan itu ternyata tidak tepat kerana sememangnya menjadi prinsip PKNS mengadakan undian sekiranya sesuatu projek sudah mencapai 60 sehingga 80 peratus siap.

“Kita sentiasa memastikan proses pembinaan dan pembelian berjalan seiring agar penduduk dapat masuk rumah tepat pada masa dan seterusnya mengelak kejadian vandalisme dan sebagainya jika rumah kosong,” tambah Noraida.

Setiap unit rumah dijual pada harga RM99, 000 dan PKNS menanggung subsidi keseluruhan sebanyak RM 79.6 juta.

“Ia adalah sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat PKNS bagi melancarkan projek ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor,” kata Noraida.

Categories
SELANGOR

Cadangan Skim Baikpulih Rumah Kediaman Luar Bandar

SABAK BERNAM, 26 FEB : Kerajaan Negeri akan dicadangkan mewujudkan satu lagi tabung khas sepertimana Skim Ceria bagi program membaikpulih rumah kediaman di kawasan luar bandar di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya akan megemukakan cadangan itu kepada Kerajaan Negeri di dalam mesyuarat exco akan datang.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian sama sepertimana rumah kediaman di kawasan bandar di mana kebanyakan pangsapuri dibaikpulih menerusi skim Ceria atau Caring Goverment For Residence Improvement Aid dengan peruntukan RM9.7 juta.

“Kalau kita telah menunaikan tanggungjawab kita kepada mereka di bandar, mungkin kita perlu lihat satu program yang sama di luar bandar. Sekarang kita ada program rakyat termiskin iaitu juga CSR tetapi saya akan membangkitkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan satu lagi tabung untuk baik pulih sepertimana tabung bagi rumah-rumah di pangsapuri-pangsapuri.

“Saya melihat bahawa ada keperluan seperti Ceria ini tetapi di kawasan luar bandar,” katanya dalam sidang media selepas Program CSR Perbadanan Kemajuan Negeri Sselangor (PKNS) – Baikpulih Rumh Asnaf Fakir Miskin di Bagan Terap di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran dan Peembangunan) PKNS, Noraida Mohd Yusof; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Sabak Bernam, Jasman Syazry Mohd Saari dan Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam, Azril Hakim Nohd Yazid.

Dalam majlis itu, PKNS menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyampaikan bantuan kepada asnaf fakir dan miskin kepada Zamri Sakiman, 39, di mana rumahnya dibaikpulih kembali.

Menyentuh perkara itu, Iskandar berkata, usaha PKNS itu wajar dipuji dan pihaknya merakamkan perhergaan terima kasih kepada PKNS di mana telah menyediakan satu peruntukan yang besar bagi tujuan itu.

“Dalam program ini PKNS telah memperuntukkan RM396,000 untuk membaikpulih 22 buah rumah di daerah Sabak Bernam. Kawasan-kawasan yang dibaikpulih adalah di Tebuk Pulai, Kampung Bagan Terap, Kampung Tok Khalifah, Bagan Nira, Sepintas dan Jalan Masjid,” katanya.

Iskandar berkata, PKNS akan memberikan pengagihan dalam RM15,000 hingga RM118,000 bagi setiap sebuah rumah.

 Tahun ini juga, katanya, PKNS telah memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta wang zakat bagi program CSR untuk asnaf fakir dan miskin, muallaf dan fisabilillah.

Menurutnya, komitmen yang ditunjukkan PKNS dalam memberikan semula keuntungan kepada rakyat Selangor melalui aktiviti sosial dan kebajikan itu sangat dihargai dan ini membuktikan PKNS tidak pernah lupa menjalankan tanggungjawabnya walaupun perniagaan utamanya adalah dalam sektor hartanah.

Tambahnya, diharapkan langkah diambil PKNS itu akan dicontohi oleh perbadanan mahupun anak-anak syarikat kerajaan negeri yang lain.

“Keseluruhan untuk rumah kos rendah sama ada pengurusan atau pembinaan dan subsidi, PKNS telah membelanjakan lebih kurang RM30 juta setahun.

“Cuma saya harap PKNS dapat melihat di kawasan seperti luar bandar ini ada usaha untuk kita membaiki lebih banyak kerana yang kita lihat masih ada banyak lagi rumah-rumah yang memerlukan baik pulih,” katanya lagi.