Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sejarah manis untuk rakyat sambut Tengku Permaisuri ke tempat dibesarkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 28 JUN: Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli ke Majlis Rumah Terbuka Eidulfitri Peringkat Negeri Ahad ini bakal menyerikan lagi majlis yang diadakan buat kali ketiga itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata majlis di Padang Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu tambah bermakna apabila DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut sama berangkat ke majlis itu nanti.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami amat bersyukur kerana ini kali ketiga DYMM Tuanku Sultan berkenan mencemar duli bersama rakyat dalam Majlis Sambutan Eidulfitri Peringkat Negeri tahun ini dan saya menyeru semua rakyat negeri ini untuk hadir ke majlis bermula jam 10.00 pagi untuk menyambut Aidilfitri.

“Pastinya majlis kali ini lebih ceria dan meriah dengan keberangkatan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abd Rahman buat kali pertama.

“Sebagai Tengku Permaisuri pernah dibesarkan di Hulu Klang di mana kawasan yang tak jauh dari lokasi ini, sudah tentu menjadi satu sejarah manis bagi rakyat di Ampang dan Hulu Klang untuk menyambut keberangkatan tiba DYMM Tengku Permaisuri Selangor,” katanya.

Rumah Terbuka Eidulfitri 2017Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas menghadiri taklimat dan membuat tinjauan persiapan Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya Eidulfitri di Padang Perbandaran MPAJ di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika menyentuh persiapan majlis itu, beliau berpuas hati persiapan yang dijalankan.

Jelasnya, kejayaan itu diperolehi ekoran kerja keras semua pihak khasnya pihak MPAJ sebagai tuan rumah majlis kali ini.