Categories
SELANGOR

CSSB tolak suapan, amalan bodek

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 4 JUL: Pemberian hadiah berupa hamper atau barangan mewah lain sama sekali tidak diterima di Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmud Abbas berkata, ia bagi menjamin keluhuran integriti kakitangannya dalam mengendalikan sesuatu urusan atau projek.

Katanya, kakitangan CSSB juga menerima pendapatan dan insentif mencukupi bagi menjalankan tanggungjawab dengan amanah dan penuh integriti tanpa perlu suapan luar.

CSSB“Mereka memperoleh bonus yang baik daripada CSSB, gaji cukup, makan cukup jadi jika misalnya ada kakitangan yang menghulurkan kad kredit untuk kontraktor bayarkan, mohon sampaikan terus kepada saya untuk tindakan tegas.

“Tidak perlu sebarang hadiah atau hamper dihantar ke sini, kami tidak perlukan semua itu kerana apa yang kami lakukan adalah demi amanah dan bukan beroleh pendapatan menerusi cara kotor dan dilaknat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan pada Majlis Menandatangani Penganugerahan Kerja Infrastruktur Fasa 3C kepada KPS-HCM Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Mahmud berkata, beliau mengingatkan perkara itu kerana pernah menerima pelbagai jenis hadiah dan hamper daripada kontraktor sebelum ini.

“Semuanya saya pulangkan kecuali sekali menerima coklat, saya pada mulanya berfikir boleh lah tetapi apabila dibuka rupanya di bawah berisi i-Pad.

“Jadi, saya terus bungkus balik dan minta kakitangan pulangkan kembali kerana itu bukan budaya CSSB. Ia sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.