Categories
GLOBAL NASIONAL

Cadangan Terusan Segenting Kra muncul lagi, ancaman Selat Melaka?

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 15 OGOS: Cadangan mahu merealisasikan Projek pembinaan Terusan Segenting Kra kembali muncul apabila sekumpulan pesara tentera dan ahli perniagaan Thailand mahu ia dilaksanakan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, pemerhati meramalkan bahawa pelabuhan Singapura akan terjejas teruk sekiranya Terusan Kra dibina, selain pelabuhan Malaysia di Pulau Pinang, Klang dan Tanjung Pelepas.

Cadangan pembinaan terusan itu muncul seawal 1677, Raja Narai yang menguasai Siam mempunyai visi untuk membina terusan menembusi Segenting Kra bagi memendekkan jarak perjalanan perkapalan tanpa perlu mengelilingi Semenanjung Melayu.

Rancangan ini menemui jalan buntu kerana kerajaan Siam ketika itu tidak memiliki dana untuk menampung kos pembinaannya serta tiada kepakaran teknologi untuk meneruskan projek ini namun tidak pernah dibatalkan.

Ro-1Menurut laporan Nikkei Asian Review, beberapa individu berpengaruh Thailand termasuk ahli politik, pesara tentera berpangkat tinggi, pakar akademik dan ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan China sedang memujuk Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chanocha untuk meneruskan projek berkenaan.

Pautan: https://asia.nikkei.com/Politics-Economy/Economy/Influential-Thais-in-push-for-Kra-Canal-project

Kumpulan yang mahu merealisasikan cadangan projek pembinaan Terusan sepanjang 135 kilometer (km) itu menjangkakan projek berkenaan bernilai AS$28 bilion (RM120 bilion).

Prayuth sebelum ini menegaskan pembinaan terusan itu tidak terdapat dalam agenda pemerintahannya.

Kumpulan tersebut percaya pembinaan terusan itu akan dibiayai melalui inisiatif Belt and Road yang dirintis China dan projek infrastruktur Laluan Sutera Ma­ritim Abad ke-21.

Kumpulan pesara tentera itu juga menubuhkan persatuan dikenali ‘Persatuan Terusan Thai untuk Kajian dan Pembangunan’ yang bekerjasama dengan penyelidik dari Universiti Peking dan sebuah syarikat China untuk mengkaji laluan yang dicadangkan.

Segenting Kra12Menurut pakar, jika Prayuth bersetuju meneruskan kajian laluan itu, pembinaan terusan berukuran 450 meter lebar dengan kedalaman 26 meter itu mampu dilalui oleh kapal kontena minyak terbesar dunia dan kapal kontena lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

Projek tersebut akan membelah bahagian selatan Thailand iaitu kira-kira 800 di selatan Bangkok dan kira-kira 200km di sempadan Thailand dengan Malaysia.

Ia akan menghubungkan Teluk Thailand dengan Laut Andaman pada anggaran latitud sama dengan pulau Phuket.

Terusan itu merupakan laluan pintas dari Selat Melaka yang menghubungkan China, Japan dan negara-negara Asia Timur lain selain perdagangan minyak negara Asia Barat serta negara pasaran utama Eropah, Afrika dan India.

Jarak perjalanan bagi kapal yang melalui Laut Pasifik dan Laut Hindi mampu dipendekkan sekurang-kurangnya 1,200 km atau tiga hari pelayaran jika melalui terusan berkenaan.

Segenting Kra123Sebelum ini, beberapa usaha dilakukan untuk menghidupkan semula projek Terusan Kra ini pada 1970-an dan 1990-an bagaimananpun Bangkok gentar pembinaan terusan ini akan secara fizikal mengasingkan lima wilayah selatan yang mempunyai majoriti penduduk Muslim.

Keadaan ini akan memberikan implikasi buruk kepada situasi politik di antara pemisah wilayah Selatan dan Kerajaan Pusat di Bangkok.

Pelaksanaan projek Terusan Segenting Kra ini juga bakal memberikan ancaman ekonomi kepada Singapura kerana banyak bergantung kepada industri perkapalan.

=EZY=