Categories
SELANGOR

ECRL terlalu mahal, Selangor utama pembangunan peduli rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerajaan Negeri tidak memberi sebarang kelulusan, setakat ini bagi fasa kedua projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menghubungkan laluan dari Gombak ke Pelabuhan Klang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana projek mega terbabit terlalu mahal dengan membabitkan kos keseluruhan dianggarkan kira-kira RM55 bilion sekaligus membebankan rakyat.

“Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah ada datang berjumpa saya untuk meminta sokongan memberi kebenaran untuk meneruskan projek itu ke Klang.

Azmin Kongres“Bagaimanapun, Selangor belum beri kelulusan. Saya akan menyemak dulu kerana projek ini terlalu mahal,” katanya di Majlis Pelancaran Tabung Inisiatif  Komuniti Selangor dan Makan Malam Bersama Sukarelawan Selangor di Midlands Convention Centre, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri berpandangan kemajuan dan pembangunan tidak semestinya memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, Selangor mementingkan pembangunan berkualiti tanpa membebankan rakyat dan merosakkan alam sekitar.

“Tidak ada guna jika kemajuan dan pembangunan itu menimbulkan banjir kilat, membebankan rakyat untuk membayar kos yang tinggi.

“Itu bukan pembangunan berkualiti. Di Selangor, kita mementingkan pembangunan berkualiti untuk rakyat,” katanya.

ECRLProjek ECRL memulakan kerja pembinaannya baru-baru ini yang merangkumi laluan sepanjang 600.3 kilometer bagi fasa pertama.

Ia melalui empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Laluan ECRL bermula di terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Gombak akan berakhir di Wakaf Bharu, Kelantan, dengan 23 stesen perhentian di antaranya.

Fasa kedua akan dilaksanakan kemudian, menghubungkannya sehingga ke Pelabuhan Klang.

Kelajuan tren mencecah 160 kilometer sejam dan ia akan membawa penumpang serta kargo.