Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Tetap bantah ECRL lalui Permatang Kuarza Gombak

SHAH ALAM, 16 JULAI: Selangor kekal dengan pendirian supaya jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak melalui khazanah alam negeri, Permatang Kuarza Gombak dekat sini.

EXCO Pengangkutan Ng Sze Han berkata jika pelan asal jajaran kereta api laju itu diteruskan, ia turut memusnahkan Taman Rimba Templer, Hutan Simpan Templer, Empangan Batu dan kawasan tadahan air.

Ng Sze Han menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor pada 16 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kerajaan Negeri tidak menyokong cadangan Kementerian Pengangkutan untuk mengubah semula jajaran ECRL seperti dicadangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Pendirian kami jajaran dari Mentakab (Pahang), Nilai (Negeri Sembilan) dan Pelabuhan Barat, Klang (Selangor) dikekalkan, sama seperti dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN),” katanya, menjawab soalan lisan wakil rakyat Banting Lau Weng San pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Pada 6 Julai lalu, SelangorKini melaporkan usaha negeri untuk meraih status Tapak Warisan Dunia Unesco bagi Permatang Kuarza Gombak terjejas sekiranya jajaran ECRL dikekalkan kepada pelan asal.

Sze Han berkata hasrat meraih pengiktirafan dunia kian positif selepas Kerajaan PAKATAN mengubah laluan ke Klawang, Jelebu dan Nilai pada 2018.

Categories
BERITA UTAMA

Aktiviti pelancongan di Tok Bali meningkat selepas ECRL disambung

PASIR PUTEH, 26 JUL: Aktiviti pelancongan di Tok Bali di sini, dilihat semakin rancak selepas kerajaan mengumumkan untuk menyambung kembali pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dihentikan seketika selepas Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

Tinjauan Bernama di kawasan yang terkenal dengan kawasan pesisir pantai yang memutih itu mendapati banyak bangunan baharu dibina dipercayai untuk tujuan perhotelan dan inap desa.

Seorang pengusaha rumah inap desa, Razali Ibrahim, 50, dari Kampung Pulau Tok Kambing di sini, berkata, pemain industri pelancongan tidak sabar untuk menunggu stesen ECRL yang akan dibina di kawasan itu disiapkan.

Menerusi stesen berkenaan, beliau yakin lebih ramai pelancong dari luar Kelantan yang akan mengunjungi Tok Bali menerusi kemudahan pengangkutan awam itu.

“Sebagai persediaan, pengusaha hotel di kawasan Tok Bali yang menyedari perkara ini telah membina lebih banyak hotel dan tempat penginapan agar dapat memenuhi permintaan nanti.

“Pengunjung juga semestinya akan memilih penginapan yang paling dekat dengan stesen ECRL dan senang dicapai dengan menggunakan kemudahan pengangkutan awam yang lain,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Seorang peniaga ikan di Pasar Lama Tok Bali, Mohd Syaffiq Akmal Mohd Azmi, 23, berkata selain sektor pelancongan, beliau yakin ECRL juga akan membawa manfaat kepada industri perikanan di kawasan berkenaan.

“Tok Bali adalah kawasan pendaratan ikan yang sangat berkait rapat dengan industri perkapalan dan kami melihat pada masa ini, telah banyak bangunan kedai dan rumah dibina, jualan hartanah juga dikatakan semakin rancak, mungkin sebagai persiapan awal.

“Setelah projek pembangunan pengangkutan ini siap, pemain industri perikanan boleh menembusi pasaran di Kuala Lumpur dalam tempoh masa yang singkat menggunakan kargo ECRL, juga sebaliknya mereka yang di Kuala Lumpur boleh datang terus ke Tok Bali,” katanya.

Bagi pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), Che Asiah Mamat, 52, berkata beliau telah lama mengimpikan untuk memasarkan produk keropok keping dan keropok kepingnya ke kawasan tengah dan selatan tanah air tanpa menggunakan khidmat orang tengah.

“Anak bersedia membantu dengan menjualnya menerusi dalam talian dan kini saya sedang mempergiatkan usaha menambahbaik pembungkusan keropok supaya lebih menarik dan pelanggan di Kuala Lumpur dapat menikmati keropok segar,” katanya.

Peniaga produk hiliran dan barang basah, Rosiah Mohamad, 40, berkata beliau dan ibunya, Che Minah Che Muda, 53, bercadang untuk memasarkan barangan seperti ikan kering, budu, telur masin, gula Melaka, bawang putih jeruk dan petai ke Kuala Lumpur.

“Sekarang pun banyak permintaan barang-barang ini daripada pelanggan di Kuala Lumpur dan Selangor tetapi kami hantar menggunakan perkhidmatan pos dan bas. Bila siap ECRL ini, kami dimaklumkan boleh hantar melalui kargo kereta api laju,” katanya.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan sebagai berkata, pembinaan ECRL akan mempercepatkan masa perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Putrajaya dalam masa empat jam dengan kelajuan 160 km/j, merangkumi 20 buah stesen dengan 14 stesen terdiri daripada stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan kargo, serta satu stesen untuk tujuan kargo sahaja. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ECRL mampu beri impak positif ekonomi Terengganu

KUALA TERENGGANU, 24 JUL: Pelancaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka mampu memberi banyak impak positif kepada pembangunan ekonomi Terengganu sekali gus mengubah ‘wajah’ negeri ini pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, Kerajaan Terengganu sangat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meneruskan projek tersebut walaupun dalam skala yang lebih kecil berbanding perancangan asal.

“Apa yang penting ialah dapat mencapai matlamat pembinaan ECRL ini untuk merancakkan pembangunan ekonomi di Pantai Timur, mewujudkan pertumbuhan banyak bandar-bandar baharu serta prasarana dan fasiliti terbaik dalam industri pengangkutan.

“Wujudnya ECRL nanti akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat terutama sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pelancongan, pendidikan dan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat negeri ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Esok, majlis pelancaran semula ECRL akan berlangsung di Bukit Bauk, Dungun dengan perasmiannya dijadual disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Pembinaan projek ECRL itu ditangguhkan sejak Julai tahun lepas apabila kerajaan mahu berunding dengan pemaju mengenai kos projek serta aspek pelaksanaannya.

Hasil rundingan, kerajaan dapat menjimatkan RM21.5 bilion apabila Fasa I dan II projek itu kini berharga RM44 bilion berbanding RM65.5 billion ditandatangani oleh kerajaan terdahulu.

Projek itu kini bermula dari Kota Bahru melalui Mentakab, Jelebu, Kuala Kelawang, Bangi/Kajang, Putrajaya dan berakhir di Pelabuhan Klang sejauh 648km, dipendekkan 40km dari laluan asal sejauh 688km.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Alex Lee Yun Ping berkata ECRL akan melonjakkan lagi industri pelancongan di Malaysia khususnya di Pantai Timur kerana rangkaian pengangkutan darat yang efisien adalah satu nilai tambah dalam industri tersebut.

“Pada masa yang sama kerajaan dan pemain industri perlu lebih kreatif dalam mewujudkan satu pengisian yang unik di setiap stesen ECRL nanti agar ia mampu menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke Terengganu.

“Terengganu perlu memanfaatkan setiap stesen untuk menarik pelancong mengenali lebih dekat keunikan budaya, warisan sejarah dan kecantikan alam semula jadinya. Sebagai contoh, Muzium Penyu atau Fishing Village boleh dibina di Dungun atau satu perkampungan budaya di mana-mana lokasi berhampiran stesen yang sesuai,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

ECRL akan beri tempias kepada daerah Kuala Pilah

KUALA PILAH, 23 JUN: Anggota Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith optimis daerah itu akan turut menerima tempias daripada pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jelebu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, meskipun projek itu dilaksanakan di Jelebu, namun ia mampu memberi impak kepada ekonomi negeri secara keseluruhannya dan sekali gus Kuala Pilah yang berhampiran dengan ibu negeri iaitu Seremban, turut akan beroleh manfaat daripada projek mega itu.

“ECRL walaupun kita (daerah Kuala Pilah) tidak terlibat secara langsung sebab laluan terhampir (ialah) di Jelebu. Bagaimanapun, apa juga yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi bagi bandar seperti Seremban sedikit sebanyak akan beri impak kepada bandar berhampiran.

“Ini termasuklah Kuala Pilah, Jempol, Tampin dan sudah tentu kita akan dapat menerima limpahan (ekonomi dan pembangunan) kalau tak banyak pun sikit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri anjurannya di Dewan Dato’ Bahaman di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita sama ada projek berkenaan akan mampu memberi tempias ekonomi termasuk peluang pekerjaan kepada penduduk di daerah Kuala Pilah.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada 16 Jun lepas dilaporkan berkata pelan jajaran projek mega itu akan dimuktamadkan tahun ini sebelum dijangka memulakan proses pengambilan tanah pada tahun hadapan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 12 April lepas mengumumkan projek ECRL akan disambung semula dengan kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

ECRL perlu bawa pertumbuhan industri ke pantai timur – Azmin

MELAKA, 30 APR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu membawa industri baharu dan pertumbuhan sektor perindustrian ke pantai timur yang seterusnya diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi menguntungkan rakyat, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, sekiranya tiada industri baharu dan pertumbuhan itu, tiada pengangkutan kargo yang akan menggunakan ECRL dan sekiranya ini berlaku tiada sebab untuk melaksanakan pembinaan ECRL di negara ini.

“Antara syarat baharu yang kita letakkan mesti membawa industri baharu ke pantai timur. ECRL ini penting jika ada pertumbuhan industri yang boleh menjana ekonomi dan pemindahan kargo industri ke Pelabuhan Klang,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama bertajuk “Pembangunan Harapan Rakyat: Mekanisma Malaysia Baharu atau Satu Penjenamaan Semula” pada Seminar Melaka Berwibawa di Bandar Hilir, di sini, hari ini.

Seminar dua hari bermula semalam dirasmikan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari hari ini dan turut hadir Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, barisan exco kerajaan negeri dan lebih 400 peserta.

Media sebelum ini melaporkan ECRL akan disambung semula dengan kos pembinaan Fasa 1 dan 2 kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Mohamed Azmin berkata penjimatan RM21.5 billion projek ECRL itu bukan kerana pengecilan skop dan spesifikasi projek itu seperti dakwaan beberapa pihak sebelum ini, sebaliknya menegaskan skop dan spesifikasi projek itu masih kekal.

“Masih landasan berkembar, jajaran itu jarak agak sama tetapi apa berlaku kita tidak membenarkan mereka menembusi Gombak dan ini keputusan diambil semasa saya jadi Menteri Besar Selangor lagi kerana di situ ada empangan dan kita tidak mahu sebarang masalah.

“Kita juga ada jajaran permatanq kuarza yang kita daftarkan dengan Unesco sebagai permatang kuarza terpanjang di dunia, dan kita juga tak mahu mereka tebuk dan buat terowong yang kosnya hampir RM10 billion, kita jimat hampir RM10 billion di situ,” katanya.

Menurutnya, menerusi penjimatan itu kerajaan boleh melaksana projek lain yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.

“Kita juga perangi salah guna kuasa, rasuah dan ketirisan, dan kita akan teruskan prinsip dan amalan ini termasuk di Bandar Malaysia tetapi dengan konsep pembangunan yang baharu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Perjanjian baru ECRL lebih banyak libat syarikat tempatan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 15 APR: Perjanjian baru Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyaksikan lebih banyak penglibatan syarikat tempatan berbanding perjanjian asal semasa kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, China bersetuju meningkatkan penyertaan tempatan dalam kerja awam daripada 30 peratus kepada 40 peratus bagi membantu meningkatkan sektor infrastruktur tempatan.

Katanya, operasi dan penyelenggaraan ECRL juga akan dijalankan secara usahasama.

“China Communications Contruction Company Ltd (CCCC) juga bersetuju untuk mengambil bahagian dalam operasi dan penyelenggaraan ECRL melalui sebuah syarikat usahasama yang akan ditubuhkan dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) 50 peratus dan CCCC 50 peratus.

“CCCC akan menyediakan sokongan teknikal dan berkongsi risiko operasi selepas siap projek itu,” katanya pada sidang medianya di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Katanya, dalam berjanjian asal, keseluruhan kos operasi dan menyelenggara ditanggung sepenuhnya oleh Malaysia.

Mahathir berkata, langkah ini mampu meringankan beban kewangan Malaysia di samping dapat memanfaat kepakaran CCCC dalam dalam pengoperasian dan penyelenggaraan.

Mahathir berkata, keputusan ini akan meningkatkan daya maju projek dalam tempoh jangka panjang.

Categories
NASIONAL

ECRL akan beri impak pembangunan kawasan luar bandar Pantai Timur

KUALA LUMPUR, 13 APR: Penerusan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memberi impak kepada pembangunan luar bandar di pantai timur Semenanjung, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Rina berkata, kerajaan terdahulu telah membuat keputusan mengenai ECRL dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan terpaksa merunding semula kosnya yang tinggi menyebabkan pembinaannya tergendala.

“Tetapi Alhamdulillah kini ada pengurangan kos dan dalam keadaan kekekangan kewangan negara sekarang ini saya pasti setiap ringgit yang dijimatkan itu amat bermakna,” kata Rina yang juga Anggota Parlimen Titiwangsa kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Gabriel, di sini.

ECRL yang disambung semula pembinaannya akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan jumlah kos daripada RM66 bilion kepada RM44 bilion, kata Tun Daim Zainuddin semalam.

Jarak landasan baharu yang bakal dibina itu meliputi sejauh 648 kilometer berbanding rancangan awal sejauh 688 kilometer dan beberapa stesen dan laluan akan turut digugurkan pembinaannya termasuk laluan Gombak yang memerlukan kos yang tinggi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Projek ECRL disambung semula beri sokongan kepada ringgit minggu depan

KUALA LUMPUR, 13 APR: Ringgit dijangka diniagakan pada paras semasa sekitar 4.11 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, disokong oleh laporan mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula.

Ketua Pakar Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, paras rintangan semasa ringgit adalah 4.11 berbanding dolar AS, manakala paras rintangan seterusnya pada 4.15.

“Saya menjangkakan ringgit bergerak dalam paras rintangan semasa 4.11, memandangkan laporan mengenai ECRL akan memberi dorongan kepada unit tempatan,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos yang lebih rendah, iaitu RM44 bilion, berbanding RM65.5 bilion sebelum ini, susulan pemeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd.

Sementara itu, Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga berkata, kelemahan bandingan ringgit-dolar AS seterusnya akan menjadikan mata wang tempatan menguji semula paras tertingginya bagi tahun ini setakat ini iaitu 4.14, memandangkan paras 4.10 telah menjadi paras sokongan baharu.

Beliau berkata, berdasarkan ketiadaan data ekonomi utama yang dikeluarkan minggu depan, tumpuan akan diberikan kepada faktor luaran, khususnya dari AS dan China, yang boleh memacu prestasi ringgit.

“Pengukuhan dolar AS boleh dipacu oleh petunjuk ekonomi negara maju itu, yang dikeluarkan minggu depan dengan jangkaan ia bersifat positif, sekali gus boleh menjejaskan mata wang negara Asia.

“Bagaimanapun sebarang data dikeluarkan yang dilihat akan merendahkan had pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) serta lebih banyak pendirian memihak kepada kadar faedah rendah daripada kenyataan pegawai Fed yang dijadualkan minggu depan boleh melemahkan dolar AS di samping meredakan tekanan ke atas aset berisiko,” katanya.

Mengenai kesan dari China, Otunuga berkata, negara itu akan mengumumkan data Keluaran Dalam Negara Kasar suku pertamanya, pengeluaran perindustrian Mac dan data jualan runcit pada minggu depan.

“Petunjuk selanjutnya mengenai penstabilan ekonomi kedua terbesar dunia itu akan mengurangkan kebimbangan yang menyelubungi pertumbuhan global, selain akan menggalakkan lebih banyak minat risiko dalam kalangan pelabur,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar AS, dan ia mencecah paras terendah dalam tempoh 10 minggu iaitu 4.1120/1160 berbanding dolar AS pada Khamis, terutamanya disebabkan oleh data lemah Indeks Pengeluaran Perindustrian Februari 2019, yang hanya meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun, serta semakan semula rendah ke atas unjuran pertumbuhan global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 4.1120/1170 berbanding dolar AS daripada 4.0870/0900 sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0367/0406 daripada 3.0182/0207 minggu lepas serta susut berbanding euro kepada 4.6519/6596 daripada 4.5889/5927.

Unit tempatan turut rendah berbanding pound kepada 5.3760/3842 daripada 5.3458/3509 serta lemah berbanding yen kepada 3.6744/6798 daripada 3.6583/6613 minggu sebelumnya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Keputusan teruskan ECRL tepat pada masanya – Saifuddin

Categories
NASIONAL

ECRL bukan ‘gula-gula’ untuk PRK Rantau – Dr Wan Azizah

SEREMBAN, 12 APR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula bukanlah ‘gula-gula’ untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Timbalan Perdana Menteri berkata, semakan semula projek berkenaan termasuk mengubah jajaran untuk memberi faedah kepada Negeri Sembilan itu telah dibuat sejak sekian lama.

“Semakan semula dibuat supaya ia lebih sesuai dan lebih beri kesan…ECRL menjurus kepada merangsang pembangunan ekonomi dan bukan ‘gula-gula’.

“Bukan ‘gula-gula (kerana) sebab PRK kita nak buat, tetapi untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni warga emas, Miri Abdul Manan, 95, antara pengundi tertua pada PRK berkenaan.

Projek ECRL berkenaan diumum disambung semula pada kos lebih rendah susulan permeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Wakil Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin yang mengetuai rundingan dilapor berkata, bahawa pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

Projek ECRL itu dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Sementara, Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PH, dalam ucapan ringkasnya pada program ramah mesra bersama penduduk Kampung Pasir Linsum, berkata adalah tidak mustahil untuk PH memenangi kerusi DUN Rantau pada PRK esok.

“Jangan lupa saya pun tak sangka saya jadi Timbalan Perdana Menteri, jadi boleh kita menang (PRK) insya-Allah, jadi kita kena kerja kuatlah,” katanya.

Justeru, beliau menyeru pengundi di Rantau agar menyokong dan memberi kepercayaan kepada calon PH, Dr S. Streram untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

PRK Rantau ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH Dr S Streram, calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon bebas iaitu suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

ECRL: Selangor sokong jika elak Permatang Kuarza Gombak

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LANGAT, 12 APR: Kerajaan Negeri akan menyokong pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekiranya ia tidak menggangu jajaran Permatang Kuarza Gombak.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya berharap supaya pembinaan yang akan turut membabitkan beberapa kawasan di Selangor tidak menggangu persekitaran terutamanya tapak warisan dunia di Gombak.

“Ini memandangkan Kerajaan Negeri hendak mendaftarkan Permatang Kuarza Gombak sebagai Tapak Geopark Kebangsaan, sama seperti yang ada di Langkawi.

“Namun kita (kerajaan) akan melihat mungkin ada pelan terbaharu yang boleh disesuaikan mengikut keadaaan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Bulatan Bandar Saujana Putra di sini, hari ni.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu berhubung pengumuman Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perdana Menteri yang kembali meneruskan pembinaan Projek ECRL.

Laporan itu turut memaklumkan kos pembinaan dijangka menelan belanja sebanyak RM44 bilion, berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.

Pengurangan kos itu dicapai selepas Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Namun pada Julai 2018, Kementerian Kewangan memaklumkan Kerajaan Selangor telah membantah keras penyiapan landasan rel yang membabitkan dari Gombak ke Pelabuhan Klang.

Bantahan itu adalah berdasarkan prinsip permohonan Kerajaan Selangor untuk mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Klang Gates Quartz Ridge sepanjang 16 kilometer, yang adalah permatang kuarza terpanjang di dunia.

Menteri Kewangan, Guan Eng turut memberitahu penyiapan landasan sambungan ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang itu sudah tentu akan menggagalkan usaha Kerajaan Selangor untuk menyenaraikan kawasan itu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihaknya sudahpun menghantar nota berkenaan hal terbabit dan berharap supaya Kerajaan Persekutuan kembali mengadakan perbincangan.

“Kerajan Negeri masih berpandangan jajaran kuarza Gombak ini adalah aset berharga dan ia adalah warisan yang sangat dihargai.

“Saya juga masih belum bertemu dengan menteri yang berkaitan kerana pengumuman baharu sahaja dibuat hari ini,” katanya.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

Categories
NASIONAL

Projek ECRL disambung semula dengan kos lebih rendah pada RM44 bilion

PUTRAJAYA, 12 APR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan disambung semula pada kos yang lebih rendah susulan permeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC), demikian umum Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

“Kerajaan Malaysia menyambut baik permeteraian SA ini yang merangkumi aspek kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian projek kereta api tersebut.

“SA itu dicapai setelah rundingan beberapa bulan antara syarikat yang terlibat serta kerajaan Malaysia dan China,” kata PMO dalam satu kenyataan hari ini.

Pejabat Perdana Menteri berkata pengurangan kos itu akan memberi manfaat kepada Malaysia dan meringankan beban kewangan negara.

Wakil Khas Perdana Menteri Tun Daim Zainuddin sedang berada di Beijing untuk bertemu dengan wakil dari China berkaitan ECRL.

Projek ECRL dimulakan oleh kerajaan sebelum ini Barisan Nasional dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan yang baru dipilih berikutan kosnya yang tinggi.

Cadangan projek ECRL sejauh 688 kilometer itu, sekiranya dibina, akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan.

SUMBER: BERNAMA