Categories
GLOBAL

Korea Utara lancar ujian peluru berpandu lagi

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SEOUL 26 OGOS: Korea Utara dilaporkan melancarkan tiga roket dipercayai jenis jarak dekat di luar pantai timur negara itu menurut sumber ketenteraan Amerika Syarikat.

Agensi Berita Korea Selatan YONHAP NEWS melaporkan pejabat Ketua Turus Staf Korea Selatan berkata, ia menganalisis sifat roket itu, namun enggan mengesahkan sama ada ia adalah peluru berpandu balistik.

Agensi berita berkenaan melaporkan, ia mungkin peluru berpandu balistik, tanpa menyatakan sumber maklumat.

Dilaporkan peluru berpandu itu terbang sejauh 250 kilometer sebelum jatuh di Laut Jepun.

Perkembangan terbaru itu turut meningkatkan ketegangan konflik di rantau Korea ekoran beberapa ujian pelancaran peluru berpandu Korea Utara sebelum ini.

Korea Utara juga memberikan ancaman untuk menyerang Guam wilayah Amerika Syarikat dengan serangan peluru berpandu jarak jauh yang turut menerima respon kritikan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

=EZY=