Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

UK bakal uji konvoi lori tanpa pemandu

UNITED KINGDOM 26 OGOS: Britain bakal melaksanakan ujian ke atas projek konvoi lori tanpa pemandu di jalan raya utama di negara ini menjelang tahun depan.

Agensi Berita Antarabangsa BBC NEWS melaporkan, Makmal Penyelidikan Pengangkutan (TRL) Britain diberi tanggungjawab melaksanakan ujian itu.

Berdasarkan perancangan dilakukan, konvoi itu bakal melibatkan formasi tiga lori dan pergerakannya termasuk pe­utan dan brek dikawal sebuah kenderaan utama dipandu manual oleh manusia.

TRL akan melaksanakan ujian teknologi pada trek percubaan dan kesemua ujian ini di jangka dilakukan di jalan raya utama menjelang akhir 2018.

Kerajaan merancang projek berkenaan sejak 2014 dan mengumumkan untuk melaksanakan ujian percubaan pada tahun lalu sebelum menangguhkannnya berikutan beberapa usahawan lori Eropah menolak untuk menyertai projek tersebut.

Ujian lori tanpa pemandu sudah dijalankan di beberapa negara lain di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Jepun.

Bagaimanapun, pelaksanaan ujian berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam konteks keselamatan.

Presiden Persatuan Permotoran British AA, Edmund King berkata, semua pihak ingin mempromosi kaedah menjimatkan penggunaan petrol dan mengurangkan kesesakan lalu lintas, namun tidak melihat lori tanpa pemandu sebagai jalan penyelesaian terbaik.

“Konvoi lori boleh menyebabkan pemandu lain tidak dapat melihat jalan raya dengan jelas, selain tidak sesuai dilakukan di jalan raya yang sibuk.

“Konvoi itu boleh dilakukan di jalan raya yang lengang dan panjang seperti di Arizona atau Nevada, namun ini bukan AS,” katanya.
SUMBER: AGENSI