Categories
SELANGOR

Kedai emas dirompak di Rawang

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 SEPT: Sebuah kedai emas disamun enam lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan dua tukul besi dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Country Homes, Rawang semalam.

Video yang tular laman sosial itu menunjukkan suspek yang memakai topeng dan topi keledar itu menyerbu masuk ke dalam kedai emas kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Suspek dipercayai memecah empat buah meja pameran dan berjaya melarikan sejumlah barang kemas.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata ketika kejadian ada empat pekerja dan dua pelanggan dalam kedai berkenaan.

“Suspek dipercayai enam orang lelaki, datang menaiki tiga buah motosikal jenis Yamaha 125.

“Tiga daripada mereka masuk ke kedai dengan bersenjatakan tukul besi dan sepucuk pistol warna hitam sementara yang lain menunggu di motosikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian tersebut seorang saksi yang kebetulan berada di berdekatan tempat kejadian berjaya merakam.

Video tersebut menunjukkan suspek melepaskan tembakan ke atas sebagai tanda amaran sebelum meluru masuk ke kedai emas berkenaan.

Ali berkata, Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup bagi mengenal pasti kumpulan penjenayah terbabit dan kerugian yang dihadapi pemilik kedai emas.

=EZY=