Categories
NASIONAL

KKM: Kes denggi turun 15%

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kes denggi mencatatkan penurunan pada minggu ke-34 dengan jumlah 1,420 kes iaitu penurunan sebanyak 252 kes (15.1 peratus) berbanding 1,672 kes pada minggu sebelumnnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhannya, jumlah kumulatif kes Denggi yang direkodkan sehingga 26 Ogos lalu sebanyak 64,512 kes berbanding 73,839 kes bagi tempoh sama pada 2016 iaitu penurunan sebanyak 12.6 peratus.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 147 kematian dilaporkan dalam tempoh minggu pertama hingga ke minggu 34 dengan penuruan sebanyak 19 kematian berbanding tahun lalu.
“Namun terdapat lima negeri yang yang menunjukkan peningkatan kes iaitu Sarawak lapan kes, Kuala Lumpur dan Putrajaya tujuh kes, Negeri Sembilan empat kes, Perlis dua kes, Sabah kes kes dan Terengganu satu kes.

DENGGI-GRAFIK“566 lokaliti wabak demam denggi masih aktif dilaporkan di 13 negeri di mana daripada jumlah tersebut terdapat 91 lokaliti hotspot semasa yang melibatkan tujuh buah negeri,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, KKM turut mengesahkan dua kes Chikungunya dilaporkan dari daerah Kuala Muda dan Sik.

Hisham berkata, jumlah kes Chikungunya sejak Januari hingga 26 Ogos adalah sebanyak 251 kes iaitu 188 kes dari Kedah, 33 kes dari Selangor, 24 kes dari Johor, empat dari Kelantan dan dua dari Perak.

Selain itu, tiada kes Zika baru dilaporkan tahun ini dengan keputusan ujian bagi 1,234 sampel darah dan 29 sampel air kencing di kalangan pesakit suspek zika yang dijalankan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (MRI).

=EZY=