Categories
SELANGOR

MAPIM gesa siasatan segera kes pusat tahfiz terbakar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 SEPT: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti punca kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, semalam.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkara itu mendapat perhatian umum dan hasil siasatan dapat membantu sebagai rumusan bagi menghindari kejadian sama berulang.

MAPIM - AZMI HAMID“Walaupun ini adalah tragedi luar jangkaan, namun peraturan keselamatan bangunan terutama bagi institusi pendidikan yang menempatkan ramai pelajar hendaklah memenuhi syarat serta sering dipantau.

“Semua pihak harus mengambil daya usaha yang serius bagi memastikan keselamatan bangunan sentiasa dijamin,” katanya.

MAPIM merakamkan takziah kepada semua ahli keluarga serta pihak pengurusan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat Hujung, Kuala Lumpur, di atas tragedi kebakaran itu.

Dalam kejadian semalam, seramai 23 mangsa iaitu dua tenaga pengajar dan 21 pelajar terkorban dalam kebakaran di pusat tahfiz berkenaan.

Polis dalam kenyataan menyatakan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan semua pihak diminta bekerjasama dalam perkara itu.