Categories
NASIONAL

Budaya politik bersih Pakatan, bina Malaysia baru

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PAHANG, 19 NOV: Budaya politik bersih diamalkan pentadbiran Pakatan mampu menjana kepada pembentukan Malaysia baru sejahtera.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, prinsip kesatuan dan integriti dipegang utuh pentadbiran Pakatan mampu merealisasikan hasrat itu.

“Saya berikrar, kita mahu politik mengangkat martabat Islam, orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

“Saya tidak mahu kita berlumba-lumba melakukan fitnah, tetapi saya mahu pimpinan kita berlumba untuk mengangkat hak rakyat,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Simpang Kepayang, Bera, malam tadi.

Dalam perkembangan itu, penganjuran jelajah KEADILAN di Pahang diadakan sebagai medan terbaik kepada pimpinan Pakatan untuk menyalurkan informasi kejayaan Pakatan dalam mentadbir Selangor.

Penganjuran jelajah itu juga mampu membuka ruang kepada rakyat untuk menilai seadilnya bagi membuat pilihan pada pilihanraya umum akan datang.

Siri jelajah itu melibatkan beberapa daerah utama di Pahang antaranya, Mentakab, Temerloh dan Bera.

Kemuncak program menerusi penganjuran Ceramah Umum di Simpang Kempayang yang disaksikan lebih 5,000 penduduk setempat.

Sebelumnya, Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor turun padang menyantuni masyarakat setempat di Kampung Batu Kapur Mentakab dan Kampung Paya Pulai, Temerloh.

=EZY=