Categories
NASIONAL

Pakatan azam perluas Skim Peduli Sihat Selangor ke Pahang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PAHANG, 19 NOV : Pelaksanaan dasar berkebajikan Skim Peduli Sihat yang dilaksanakan di Selangor boleh diperluas ke seluruh negara jika Pakatan berjaya menerajui tampuk kepimpinan negeri yang dikuasai Umno Barisan Nasional.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor optimis inisiatif itu boleh dilaksanakan selepas Kerajaan Pulau Pinang melaksanakan skim sama di negeri itu.

“Saya dimaklumkan, Pulau Pinang juga akan menggunakan pendekatan sama dengan melaksanakan Skim Peduli Sihat (menerusi penjenamaan) sebagai Sihat Penang.

“Kalau ditakdirkan kami menang, kami juga akan umumkan Sihat Pahang di Pahang,” katanya ketika berucap pada Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Kampung Batu Kapur, Mentakab di sini, semalam.

Terdahulu, Skim Peduli Sihat yang dilancarkan awal Januari lalu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap bebanan kos rawatan kesihatan rakyat yang semakin tinggi.

Program terunggul di Malaysia yang mula diperkenalkan di Selangor itu merupakan program berimpak tinggi selari peruntukan dikhususkan pelaksanaannya, iaitu RM125 juta setahun.

Pada masa ini sebanyak 624 klinik panel berdaftar dengan skim berkenaan.

=EZY=