Categories
AGENDA NASIONAL

Agensi kawalan sempadan distruktur semula, letak bawah polis

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang ditubuhkan pada Disember 2017 dibubarkan dan tugas-tugas agensi berkenaan diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tugas-tugas berkenaan dipertanggungjawabkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenterawam Awam iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Mac lepas telah bersetuju dengan cadangan rasionalisasi AKSEM menerusi penstrukturan semula serta diletakkan di bawah PDRM. Selain itu, Akta AKSEM 2017 (Akta 799) akan dimansuhkan setelah proses penstrukturan ini dilaksanakan.

“Pelaksanaan penstrukturan semula AKSEM ke dalam PDRM akan dilaksanakan secara berfasa mulai hari ini sehingga 30 September tahun ini,” katanya dalam sidang media majlis penyerahan tugas AKSEM kepada PDRM di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata penstrukturan semula AKSEM merangkumi aspek peranan, penyerahan aset, penjajaran semula perjawatan dan sumber manusia serta pengurusan kewangan dan perolehan.

Hamzah berkata pelaksanaan penstrukturan semula secara berperingkat ini adalah bagi memastkan tidak berlaku kelompongan dan seterusnya memberi kesan negatif kepada keselamatan sempadan negara.

Beliau berkata pelan rasionalisasi AKSEM itu akan memberi kesan positif kepada pengurusan keselamatan sempadan negara apabila kekuatan sedia ada AKSEM digabungkan bersama PDRM bagi memperkasakan fungsi dan peranan agensi penguatkuasaan keselamatan di sempadan darat negara.

“Rasionalisasi AKSEM ini juga akan membuka ruang yang lebih luas kepada tanggungjawab pengawalan sempadan negara ke seluruh negara kerana sebelum ini dengan kekuatan sedia ada AKSEM hanya mampu menumpukan pengawalan sempadan darat di empat negeri sahaja iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata fungsi pengawalan keselamatan di sempadan negara yang lain dilaksanakan PGA termasuklah ke kawasan pesisir pantai dan pulau-pulau di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Hamzah berkata dengan pelaksanaan pelan berkenaan KDN yakin dapat memantapkan lagi kawalan sempadan darat negara secara keseluruhannya melalui sinergi baharu kawalan sempadan yang diselia PDRM.

Mengulas mengenai perjawatan yang sedia ada dalam AKSEM, Hamzah berkata AKSEM ketika ini mempunyai 900 perjawatan.

Beliau berkata perjawatan AKSEM antaranya melibatkan gabungan Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam namun apabila AKSEM dirasionalisasikan perjawatan kedua-dua jabatan berkenaan akan kembali kepada jabatan masing-masing seperti sediakala.

Selain itu, Hamzah berkata sepanjang penubuhan AKSEM, agensi berkenaan menumpaskan pelbagai kegiatan jenayah antaranya penyeludupan rokok, dadah, kenderaan klon, mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dan penyeludupan orang.

Sejak penubuhannya hingga 2019, AKSEM merampas barangan bernilai RM145.52 juta melibatkan 2,400 kes.

Turut hadir Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KDN: Hamzah Zainudin positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin telah disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian Covid-19 semalam.

Menurut kenyataan media Kementerian Dalam Negeri hari ini, perkara berkenaan dimaklumkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) awal pagi tadi.

Menurut kenyataan itu, Hamzah akan menjalani tempoh rawatan dan kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapat oleh pihak KKM.

“Sepanjang tempoh rawatan dan kuarantin itu, Hamzah akan terus memastikan segala urusan kementerian berjalan dengan lancar dari semasa ke semasa.

“Sehubungan itu, semua kontak rapat Hamzah bermula pada 8 Jan sehingga 11 Jan lalu dimohon untuk tampil ke pusat saringan Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk melakukan saringan Covid-19 mengikut saranan pihak KKM,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Hamzah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan kesembuhannya dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul atas perkembangan ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Lebih 10,000 pegawai, anggota polis dikuarantin

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Lebih 10,000 pegawai dan anggota polis dikuarantin manakala sekurang-kurangnya 200 lagi sedang dirawat selepas disahkan positif jangkitan Covid-19, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata kadar jangkitan terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tinggi telah membantutkan keupayaan serta kekuatan pasukan itu dalam penugasan menjaga keselamatan dan keamanan negara.

Beliau berkata pasukan polis adalah petugas barisan hadapan berpotensi besar terdedah kepada wabak COVID-19 kerana mereka berada paling hampir dengan rakyat, yang belum dipastikan tahap jangkitan.

“Penularan wabak Covid-19 semakin membimbangkan dan ramai petugas barisan hadapan telah terdedah dengan risiko jangkitan wabak tersebut.

“Walaupun mereka (polis) memakai pelitup muka, penugasan anggota polis memerlukan mereka berkomunikasi secara dekat dengan rakyat. Penjarakan sosial tidak dapat diaplikasikan dengan sempurna dalam menentukan keselamatan dan keamanan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata terdapat juga anggota yang ditugaskan membantu pihak imigresen untuk menghalang pencerobohan masuk pendatang tanpa izin.

“Menerusi Op Benteng antara 1 Mei hingga 18 Oktober, pasukan keselamatan telah menahan 497 pendatang tanpa izin dan 28 tekong yang cuba memasuki dan keluar negara melalui Sarawak,” katanya sambil mengakui bahawa sumber dan kekuatan polis telah digunakan pada tahap maksimum.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dan bersama-sama melawan wabak ini seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau penghargaan tertinggi harus diberikan kepada PDRM kerana semenjak penularan wabak itu, ramai dalam kalangan anggota polis yang telah berjuang tanpa menghiraukan penat lelah.

“Ramai juga antara mereka yang masih belum pernah berehat atau meluangkan waktu bersama keluarga. Kita sedang ketandusan masa dan sekarang bukan waktu untuk berpolitik atau melobi sokongan terhadap individu tertentu menjadi Perdana Menteri,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hamzah: Tindakan tegas sembunyi maklumat kluster Covid-19

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menyembunyikan maklumat berkaitan kluster Covid-19 terutama dalam kalangan kluster tabligh.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya mempunyai data berkaitan kluster yang dipercayai menyebabkan rantaian penularan wabak berkenaan berpanjangan.

“Saya memohon kalau mana-mana individu yang ada kontak dengan kluster untuk tampil membuat saringan. Kami tidak akan menahan mereka, kita cuma mahu mereka membuat saringan pemeriksaan Covid-19 sahaja.

“Ini adalah amaran pertama dan kami tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan lebih tegas selepas ini memandangkan kita telah masuk fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Hamzah bagaimanapun enggan mengulas lanjut tindakan tegas yang bakal diambil.

“Covid-19 tidak mengenal bangsa, agama dan pangkat atau sesiapa sahaja yang bersangkut-paut. Oleh itu, kami meminta semua pihak memberi kerjasama kepada polis,” katanya.

Berikutan itu, Hamzah turut menasihatkan masyarakat agar tidak mengeluarkan sebarang berita palsu atau berkongsi maklumat tidak benar mengenai Covid-19.

“Jangan sampai perkara ini memecah belahkan perpaduan negara dan menimbulkan kegusaran awam sehingga mampu menimbulkan masalah lain. Sebaliknya setiap masyarakat harus memainkan peranan dalam memastikan kita dapat mengatasi masalah ini bersama,” katanya.

Hamzah turut berharap rantaian Covid-19 dapat diputuskan dengan bantuan semua pihak di fasa kedua PKP ini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Menteri gagal faham realiti krisis sektor peruncitan negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 NOV: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak memahami kemelut sebenar realiti yang berlaku terhadap sektor peruncitan negara.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, gagal menyatakan sebarang pandangan secara konsisten membabitkan kemelut isu berkenaan.

“Hakikatnya, jika perniagaan adalah baik dan harga barangan tidak naik melambung, Giant dan mana-mana perniagaan runcit lain tidak akan terkesan teruk seperti dilaporkan.

“Tambahan pula pendapatan rakyat tidak meningkat pada kadar yang setara. Pada masa ini, keadaan ekonomi memaksa ribuan pekerja dihentikan.

“Malah sektor perdagangan borong dan runcit mengalami kadar pembuangan kerja paling teruk selepas sektor pembuatan, iaitu 20.7 peratus daripada 37,699 keseluruhan pekerja yang dibuang pada tahun 2016,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, Menteri tidak boleh mencanang bahawa prestasi ekonomi kukuh dan berjaya, tetapi apabila sesuatu keadaan buruk yang memberi kesan kepada ribuan pekerja didedahkan.

“Kerajaan terus menafikannya malah menyalahkan orang lain pula.

Menteri harus melihat semula dasar serta perancangan sedia ada, dan berusaha membaik pulih keadaan sebelum ia menjadi lebih parah,” katanya.

Terdahulu, Nik Nazmi mendedahkan penutupan lima Pasaraya Giant yang disifatkannya sebagai bukti ekonomi negara berada pada situasi membimbangkan.

Beliau berkata, pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kejatuhan nilai ringgit sehingga mengakibatkan kenaikan harga barang jelas memberi kesan kepada peniaga dan juga pembeli yang semakin berkurangan kuasa membeli.

Bagaimanapun, Kerajaan mendakwa penutupan itu tiada kaitan dengan keadaan ekonomi negara seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak.