Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jalin kerjasama swasta tingkat hasil padi, pendapatan pesawah

SHAH ALAM, 30 NOV: Program Smart Sawah berskala besar diperkenal sebagai strategi meningkatkan hasil keluaran padi di negeri ini.

EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata pengurusan tanaman padi melalui program itu dibuat dengan penglibatan pihak swasta bersama pesawah.

Usaha lain, katanya, Kerajaan Negeri menggalakkan penggunaan variati yang seragam dan kawalan perosak secara bersepadu bersama kelompok petani.

“Kita juga menyelaras penjadualan tanaman secara seragam dan menggalakkan pesawah untuk menuai padi tepat pada masanya sekali gus menambah pendapatan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin berhubung perancangan Selangor untuk menambah pengeluaran tanaman itu di negeri ini.

Mengulas bentuk bantuan kepada pesawah terkesan dengan serangan penyakit dan makhluk perosak padi, Ir Izham berkata peruntukan disediakan melalui dana penyelenggaraan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Sementara itu, beliau berkata kerja menaik taraf sistem pengairan seperti parit dan palong air dilakukan IADA Barat Laut Selangor secara berperingkat.

“Ia dilakukan secara berperingkat mengikut peruntukan diluluskan pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Benih padi jenis NMR152 mampu hasilkan sehingga 10 tan sehektar

ROMPIN, 18 MAC: Agensi Nuklear Malaysia optimis pengeluaran hasil padi negara ini dapat ditingkatkan jika lebih ramai pesawah menggunakan benih padi nuklear NMR152 yang dibangunkan agensi itu.

Ketua Pengarahnya Dr Siti A’iasiah Hashim berkata benih padi itu berupaya menghasilkan lapan hingga 10 tan beras sehektar berbanding dua hingga tiga tan sehektar jika menggunakan benih padi biasa.

Beliau berharap dapat meningkatkan hasil padi negara dengan mengubah cara penanaman dan penggunaan benih padi berkeberhasilan tinggi seperti benih padi nuklear NMR152 dan beberapa variasi benih padi lain yang sedang dibangunkan.

“Usaha ini membolehkan kita mengurangkan kebergantungan pada negara luar seperti Thailand dan Vietnam untuk memenuhi permintaan beras dalam negara yang masih belum mencukupi.

“Saya percaya ini akan berjaya dicapai jika para penanam padi di negara ini bersedia menggunakan benih padi mutasi tersebut, apatah lagi benih berkenaan telah diiktiraf Jabatan Pertanian dan akan dijual pada harga subsidi kelak,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Siti A’iasiah sebelum itu menghadiri Majlis Penyerahan Benih Padi Nuklear NMR152 di Sawah Skim Paya Laka yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Nuklear Malaysia Dr Abdul Rahim Harun dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Rompin Mohd Faizul Miran.

Pada majlis itu, Nuklear Malaysia memberi sumbangan benih padi nuklear NMR152 dan baja Oligokitosan kepada lebih 20 penanam padi di sekitar kawasan tersebut yang terjejas oleh banjir beberapa bulan lalu, sebagai sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi berkenaan.

Siti A’iasiah berkata selain boleh meningkatkan hasil pengeluaran padi, benih padi nuklear NMR152 dilihat berdaya tahan tinggi terhadap cuaca tidak menentu dan penyakit karah.

“Kelebihan benih padi NMR152 ialah boleh hidup walaupun air kurang atau banyak ketika musim hujan atau kemarau selain boleh menangani angin ribut kerana batangnya lebih kuat dan dapat bertahan jika terkena penyakit karah,” katanya.

Beliau berkata walaupun menggunakan teknologi nuklear untuk menghasilkan benih padi berkenaan, orang ramai tidak perlu risau untuk menggunakannya kerana teknologi itu terbukti selamat dan tidak memberikan kesan sampingan.

“Kita tidak mengubah benih padi dari segi genetik tetapi hanya mempercepatkan proses mutasi menggunakan sinaran gamma untuk menjadikannya lebih baik daripada induknya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RM1 juta bantu 2,500 pesawah tingkat hasil padi

SABAK BERNAM, 9 MAC: Sejumlah RM1 juta diperuntuk bagi membantu 2,500 pesawah yang berdepan masalah kemerosotan hasil padi di daerah ini.

EXCO Pertanian berkata jumlah itu merangkumi beberapa bantuan termasuk biji benih dan baja sebagai langkah meningkatkan hasil tanaman melibatkan sawah sekitar Sungai Panjang dan Bagan Terap.

“Musim padi terbaharu ini, mereka mengalami kerugian besar apabila hanya mencatatkan 2.5 tan hasil untuk satu hektar berbanding lapan tan sebelum ini.

“Ini menyebabkan mereka mengalami kerugian sangat ketara. Untuk capai untung, mereka seharusnya memperoleh hasil tuaian sekurang-kurangkan lima tan,” katanya.

Terdahulu beliau menyerahkan bantuan baja kompos serta makanan asas kepada petani menerusi Pakej Kita Selangor di Parit 10 Timur dekat sini.

Izham berkata punca masalah terbabit sudah dikenal pasti antaranya kesuburan tanah serta penggunaan baja berlebihan.

“Masalah ini akan diselesaikan sebelum Julai. Kita pastikan hasil tanaman mampu mencapai ke tahap antara lapan hingga 10 tan setiap musim.

“Bantuan tidak difokuskan kawasan ini sahaja sebaliknya di semua kawasan yang didapati bermasalah. Kita harap pesawah serta jabatan berkaitan memberi kerjasama penuh agar langkah ini berkesan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemutihan subsidi pesawah dilaksana pastikan bantuan telus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 25 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan proses pemutihan subsidi pesawah bagi membolehkan bantuan tersebut sampai kepada penerimanya dengan lebih telus.

Menterinya, Dato’ Salahuddin Ayub berkata, ketirisan dalam pemberian subsidi tersebut menyebabkan ada petani yang tidak menerima bantuan sewajarnya.

Katanya, ia sekaligus menggagalkan usaha kerajaan untuk memantapkan sektor padi negara.

“Proses pemutihan subsidi ini perlu dibuat memandangkan kita lihat ada penerima bantuan yang mana umurnya semakin meningkat dan sebagainya.

“Saya berharap supaya masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Belian Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pasir Panjang, hari ini.

Salahudin bagaimanapun memberitahu, insentif buat pesawah masih lagi kekal dan tiada rancangan bagi meningkatkan jumlah bantuan terbabit.

“Kerajaan hanya akan meningkatkan hasil pesawah ini melalui pemberian baja yang lebih bermutu, itulah tindakan yang akan dilakukan kementerian bagi membolehkan peningkatan hasil padi,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM3 juta Skim Insurans Pesawah, bantu golongan tani negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV : Kerajaan Negeri turut memfokuskan tanggungjawab berkebajikan untuk membantu pesawah seluruh negeri, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri bercadang memperkenalkan Skim Insuran Pesawah secara percuma melibatkan 10,000 pesawah seluruh negeri.

“Pesawah dihimpit dengan tekanan import padi dari negara asing. Hasil padi tidak menentu, terkadang kala diganggu cuaca atau penyakit.

“Namun, pesawah padi tetap membanting tulang, membasahi tubuh dengan keringat menyumbang kepada jaminan keselamatan makanan negara.

“Itulah perjuangan hidup seorang pesawah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2018 di Dewan Negeri Selangor.

Mohamed Azmin berkata, melalui skim berkenaan, pesawah akan menerima beberapa manfaat yang dilihat bakal memberi manfaat jangka panjang kepada penggiat industri itu.

“Melalui skim ini, wira sawah akan menerima manfaat perubatan, perlindungan akibat hilang upaya kekal atau menyeluruh dan juga infaq kematian.

“Sebanyak RM3 juta akan diperuntukkan untuk tujuan ini bagi melindungi pesawah,” katanya.

Untuk rekod, inisiatif berkenaan diperkenalkan kali pertama tahun ini di peringkat negeri dan Persekutuan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pusat pemprosesan padi organik diwujud bantu pesawah

Oleh: NAEEM RAFFI

TANJUNG KARANG, 16 FEB: Pusat pemprosesan padi organik bakal diwujudkan di bawah Program Natural Farming (Pertanian Lestari) bagi meningkatkan pendapatan pesawah selain memenuhi permintaan pasaran.

Exco Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata kini lebih 800 pesawah menggunakan konsep Pertanian Lestari.

pic sri padi - testimoniKatanya, timbul masalah apabila padi organik itu terpaksa dihantar ke pusat pemprosesan padi biasa yang harganya lebih rendah.

“Sudah tentu ia merugikan pesawah memandangkan hasil padi ini mempunyai harga jualan yang lebih baik dari hasil padi biasa.

“Pemintaan pasaran yang inginkan hasil padi dari kaedah organik juga gagal dipenuhi,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Baja Mikrob Biodcomposer di Parit Tiga, kampung Sungai Burong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Selangor, Mohd Abidin Ariffin dan Pegawai Pertanian Daerah Sabah Bernam, Mohamad Izwan Hasan.

Zaidy berkata usaha tersebut masih diperingkat perancangan dan pembangunannya kelak akan diuruselia Jabatan Pertanian Selangor.

10985486_1623925961172732_6468869876184610966_n“Semua hasil padi itu diproses di pusat pemprosesan tersebut dan hasilnya kelak akan dipasarkan atas jenama sendiri, buat masa ini kita belum tetapkan apa jenamanya,” katanya.

Program Natural Farming diperkenalkan bagi menghasilkan padi yang rendah penggunaan baja dan racun kimia selain meningkatkan pendapatan pesawah. Selain itu, pesawah juga memperoleh pendapatan tambahan menerusi pembiakan ikan-ikan di dalam bendang.

Antara usaha yang diambil adalah memberikan penerangan dan bantuan baja-baja tambahan serta peralatan yang boleh digunakan untuk mencapai objektif tersebut.

“Bantuan baja mikrob seperti pada hari ini juga merupakan salah satu dari elemen penghasilan padi yang lebih ke arah natural farming,” katanya.

Kira-kira 350 pesawah daerah Kuala Selangor menerima bantuan Baja Mikrob Biodcomposer bernilai lebih RM87,000 dari Kerajaan Negeri sebagai galakan kepada penghasilan hasil padi berkonsepkan Natural Farming.

EZY