Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

#Selangor18: Ibu dihargai menerusi KISS, RM2,400 setahun

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri bercadang memperkenalkan inisiatif baru, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang akan memberdaya golongan itu, di Selangor sebagai pengurus kewangan keluarga masing-masing.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bantuan itu dikhususkan kepada mereka berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah atas penghargaan terhadap pengorbanan serta perit jerih dilakukan.

Katanya, setiap ibu yang layak akan menerima bantuan RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan yang akan memberi manfaat kepada 30,000 penerima.

“Melalui KISS, ibu di Selangor akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di pasaraya dan kedai runcit yang akan dikenalpasti.

“Usaha ini sebahagian Inisiatif Peduli Rakyat yang akan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri dengan implikasi kewangan RM72 juta.

“Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri komited memulakan inisiatif ini bagi suku pertama 2018 dengan pembiayaan RM18 juta,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, usaha itu selaras kebergantungan institusi keluarga terhadap peranan ibu yang bukan sahaja mendidik dan membesarkan anak tetapi memikul tanggungjawab mengurus kewangan keluarga.

Pada masa sama, katanya, ibu paling terkesan dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kenaikan harga barang keperluan hingga kadangkala wujud gangguan juga tekanan emosi.

“Ramai ibu terpaksa membantu suami mendapat pendapatan tambahan untuk menampung kos sara hidup keluarga. Kerajaan Negeri tidak mahu melihat keadaan ini berterusan.

“Kita tidak berada di sini tanpa seorang ibu. Kasih sayang seorang ibu terhadap anak dan keluarga tiada penghujungnya,” katanya.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, 1.7 peratus isi rumah menerima pendapatan RM1,999 ke bawah membabitkan 108,800 isi rumah atau kira-kira 30,000 keluarga, di Selangor.

=EZY=