Categories
SELANGOR

RM98 juta baik pulih penyelenggaraan rumah kos rendah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

CYBERJAYA, 12 NOV: Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM98 juta bagi menambah baik keperluan dan penyelenggaraan rumah kos rendah di seluruh Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata perbelanjaan dikeluarkan bagi tempoh 2010 hingga 2017.

“Kerajaan sebelum ini, banyak rumah-rumah kos rendah dibina, namun timbul masalah apabila rumah-rumah yang dibina itu terlalu rendah daripada aspek kualitinya.

“Akibatnya Kerajaan Negeri mengeluarkan perbelanjaan sekitar RM98 juta untuk tujuan baik pulih rumah-rumah kos rendah yang dibina.

“Oleh sebab itu, saya berharap walaupun kita pentingkan kuantiti rumah, namun kualiti rumah yang dibina ini perlu berada dalam tahap yang baik,” katanya.

Beliau berkata pada Majlis Perasmian Penyerahan Kunci Secara Simbolik kepada 10 pembeli Rumah Selangorku di Persiaran Rimba Permai, Cyberjaya hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) bagi membantu perumahan kos rendah membaikpulih kerosakan dan aspek penyelenggaraan lift.

Skim berkenaan menawarkan tanggungan baik pulih kerosakan sebanyak 80 peratus dengan selebihnya ditanggung Badan Pengurusan Bersama (JMB).

=EZY=