Categories
SELANGOR

Rumah SelangorKu kini di Cyberjaya, tawar harga terbaik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

CYBERJAYA, 12 NOV: Pembangunan Rumah Selangorku diperluas di Bandar Pintar Cyberjaya dengan siapnya projek perumahan Masreca N19eteen oleh Syarikat Pemaju Bumiputera, Kumpulan Sterling.

Kali pertama dibangunkan di kawasan Perbandaran Teknologi Sepang itu, seramai 10 pembeli terpilih menerima simbolik kunci penyerahan yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Persiaran Rimba Permai Cyber 10, hari ini.

Mohamed Azmin dalam ucapara Majlis Perasmian Penyerahan Kunci Secara Simbolik berkata, pembangunan Rumah SelangorKu membuktikan komitmen pentadbiran negeri dalam memastikan rakyat Selangor mampu memiliki rumah kediaman sendiri.

“Kerajaan Negeri telah berusaha sejak beberapa tahun lalu untuk bekerjasama dengan pihak swasta termasuk usahasama dengan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri bagi membina rumah mampu milik yang benar-benar mampu dimiliki.

“Sebab itu Rumah Selangorku dibina dan tidak boleh dijual melebihi RM250,000 walaupun kos tanah di negeri Selangor cukup mahal akibat pembangunan rancak yang kita saksikan.

“Tetapi pendekatan dan pendirian Kerajaan Negeri untuk bantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, rumah-rumah ini terus dibina demi kepentingan rakyat.

“Hakikat daripada itu, kita telah melepasi peringkat sasaran dengan pembinaan melebihi 20,000 unit rumah mampu milik di negeri Selangor berbanding sasaran awal sekitar 15,000 unit,” katanya.

Terdahulu, Majlis Perasmian turut dihadiri Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad dan Pengarah Eksekutif Sterling Group, Ahmad Khalif Tan Sri Mustapha Kamal.

Untuk rekod, pembangunan Masreca N19eteen siap dua bulan lebih awal iaitu sekitar September lalu dengan projek pembangunan dibina di atas tanah pegangan bebas seluas 15.42 ekar.

Ia merupakan projek sulung Sterling Prima dengan penyediaan 960 unit pangsapuri berkeluasan 850 kaki persegi dan dilengkapi dengan pembangunan 48 buah unit kedai dua tingkat.

=EZY=