Categories
SELANGOR

Skim Smart-Sewa diteruskan, peruntukan tambahan RM50 juta

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri meneruskan Skim Smart-Sewa dengan peruntukan tambahan RM50 juta dalam Belanjawan 2018 berikutan sambutan baik diterima daripada rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, skim bermula 2016 dengan peruntukan RM10 juta mendapat maklum balas positif dari golongan ‘millennials’.

“Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah meningkatkan pembiayaan kepada RM100 juta untuk membeli unit rumah di lokasi strategik yang disewakan kepd mereka yang layak.

“Sehingga kini, sebanyak 861 unit rumah mampu milik telah dimiliki Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dengan kos pembelian bernilai RM123.14 juta manakala Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) dilantik sebagai agen pengurusan bagi skim ini,” katanya.

Skim Smart-Sewa adalah program Kerajaan Negeri diwujudkan untuk membantu rakyat berpendapatan sederhana menyewa selama minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Dalam tempoh berkenaan, apabila penyewa mempunyai keupayaan membeli rumah maka 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sewaan akan dipulangkan balik kepadanya bagi digunakan sebagai deposit membeli rumah baru.

Mohamed Azmin selanjutnya berkata, program Rumah Selangorku diusahakan Kerajaan Negeri bersama pihak swasta juga memenuhi matlamat apabila melepasi sasaran awal sebanyak 15,000 unit.

Sehingga Oktober ini, beliau berkata, sebanyak 1,813 unit telah siap dibina dan angka itu akan meningkat kepada 3,394 unit siap dibina menjelang hujung tahun ini.

“Untuk makluman, sebanyak 29 projek telah memperoleh kelulusan Permit Pengiklanan dan Lesen Pembangun (APDL) dan dijangka akan menyiapkan 20,331 unit Rumah Selangorku secara berperingkat menjelang 2020,” katanya.

=EZY=