Categories
NASIONAL

Azmin: Dulu 20 tahun lawan Tun M, siapalah Najib

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 9 DIS: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tidak gentar berhadapan dengan fitnah dan pelbagai tekanan oleh Umno-Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor, berkata pengalaman panjang sebagai ahli politik menyebabkan beliau lebih bersemangat berjuang demi rakyat.

“Selama 20 tahun saya melawan Dr Mahathir tetapi sekarang Dr Mahathir dah insaf masuk pula Pakatan Harapan.

Kalau saya boleh lawan Dr Mahathir, siapalah Najib cicak mengkarung ini tuan-tuan,” katanya pada program Jelajah Peduli Rakyat di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Subang di sini, hari ini.

Jelasnya, sebelum ini beliau pernah berhadapan dengan pelbagai cabaran getir termasuk ditahan di lokap, ditelanjang dan dimalukan dengan pelbagai cara.

Katanya, selain itu ahli keluarga dan saudara terdekat turut diancam dengan pelbagai cara.

“Kalau kamu tak setuju dengan saya, lawanlah dengan saya bukannya lawan dengan anak saudara saya, jangan lawan keluarga saya.

“Jangan ingat bila kamu lawan keluarga saya, saya akan takut dan bacul. Saya bukan Pemuda Umno. Saya akan lawan habis-habisan,” katanya.

=EZY=