Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

FHS 2017: Usaha Selangor jadi hab halal terulung dunia

 

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR BARU BANGI, 1 DIS: Festival Halal Selangor (FHS) 2017 anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah bertepatan dengan aspirasi Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai hab halal terulung di peringkat serantau dan antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata penganjurannya akan membuka peluang kepada golongan usahawan tempatan dalam merebut peluang pasaran halal dunia dan memperkukuhkan pembangunan industri halal Selangor.

“Kerajaan Negeri komited membangunkan industri halal dan salah satu usaha adalah pembangunan hab halal Selangor bagi mewujudkan peluang usahawan meningkatkan kualiti dan imej produk.

“Sebagai ‘game changer’ dalam industri ini, Kerajaan Negeri melalui Halal International Selangor (HIS) menyediakan inisiatif menyelesaian perniagaan untuk membantu mengangkat potensi industri halal domestik khususnya bagi Selangor ke persada antarabangsa,” katanya dalam majlis perasmian FHS 2017 di sini, semalam.

Bagi 2018, beliau berkata, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan melatih 200 peserta di bawah program Halal Technical Competent Person (HTCP) ke arah menaik taraf kemahiran dan ilmu pengetahuan mengenai indutri halal tempatan dan antarabangsa.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada inisiatif ikhtisas diperuntukkan sebanyak RM52 juta untuk melakukan ‘quantum leap’ (peningkatan besar) bagi memperkukuhkan kemahiran dan kecemerlangan kerja.

“Industri halal antara industri strategik dan berimpak tinggi berpotensi diketengahkan dalam pasaran global dengan anggaran melebihi USD2.3 trilion setahun yang mesti dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan tempatan.

“RM12 bilion dilaburkan dalam industri halal Malaysia dan pelaburan ini berjaya memberikan lebih 100,000 peluang pekerjaan untuk pasaran tempatan, manakala eksport Malaysia bagi produk halal sehingga kini masih di tahap agak rendah dengan nilai hanya RM39 bilion berbanding pasaran halal dunia.

“Sementara itu, nilai industri halal bagi Selangor mencecah RM10 bilion dan dijangka akan terus meningkat selepas ini,” katanya.

Beliau menambah, FHS 2017 dengan tema ‘Meneraju Mesra Halal Selangor’ adalah tepat pada masanya dan medium terbaik mempromosikan produk halal kepada masyarakat, memberdayakan konsep halalan toyyiban serta meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kualiti produk halal di Selangor.

FHS 2017 anjuran JAIS berlangsung di sini selama lima hari bermula 29 November hingga 3 Disember ini.