Categories
SELANGOR

FHS 2017: Medan usahawan luas pasaran, rancak industri halal

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR BARU BANGI, 1 DIS: Festival Halal Selangor (FHS) 2017 mebuka ruang dan peluang kepada usahawan tempatan meluaskan pasaran serta meningkatkan industri halal di Selangor.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, penganjuran festival itu adalah salah satu usaha JAIS mempromosikan industri halal tempatan di dalam negara ini khususnya di Selangor.

“JAIS bertanggungjawab untuk membantu industri halal melalui usaha membina imej produk halal sekali gus mempromosi penggunaan produknya dan pendidikan kepenggunaan barangan halal.

“Penganjurannya pasti akan menjadi landasan bagi memberi kesedaran kepada pengguna sert maklumat dalam setiapaspek berkaitan pengurusan halal di Selangor.

“Ia sekali gus menyedarkan masyarakat berhubung peranan JAIS yang semakin berkembang dan penting khususnya bagi menjamin kehidupan diredhai Allah melalui sumber makanan dan keperluan harian yang halal,” katanya dalam majlis FHS 2017 di sini, semalam.

Majlis perasmian FHS 2017 disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Bahagian Pengurusan Halal JAIS menerima 2,559 permohonan bagi mendapatkan pensijilan halal di mana 1,098 teleh diluluskan, manakala 1,149 ditolak kerana tidak memenuhi syarat dan piawai ditetapkan.

“Secara keseluruhan, terdapat 4,032 pemegang sijil halal di Selangor dan ini membuktikan permintaan terhadap produk dan barangan halal adalah tinggi di negeri ini.

“Ia bukan sahaja kepada orang Islam semamta-mata malah turut membabitkan orang bukan Islam,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

FHS 2017: Usaha Selangor jadi hab halal terulung dunia

 

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR BARU BANGI, 1 DIS: Festival Halal Selangor (FHS) 2017 anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah bertepatan dengan aspirasi Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai hab halal terulung di peringkat serantau dan antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata penganjurannya akan membuka peluang kepada golongan usahawan tempatan dalam merebut peluang pasaran halal dunia dan memperkukuhkan pembangunan industri halal Selangor.

“Kerajaan Negeri komited membangunkan industri halal dan salah satu usaha adalah pembangunan hab halal Selangor bagi mewujudkan peluang usahawan meningkatkan kualiti dan imej produk.

“Sebagai ‘game changer’ dalam industri ini, Kerajaan Negeri melalui Halal International Selangor (HIS) menyediakan inisiatif menyelesaian perniagaan untuk membantu mengangkat potensi industri halal domestik khususnya bagi Selangor ke persada antarabangsa,” katanya dalam majlis perasmian FHS 2017 di sini, semalam.

Bagi 2018, beliau berkata, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan melatih 200 peserta di bawah program Halal Technical Competent Person (HTCP) ke arah menaik taraf kemahiran dan ilmu pengetahuan mengenai indutri halal tempatan dan antarabangsa.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada inisiatif ikhtisas diperuntukkan sebanyak RM52 juta untuk melakukan ‘quantum leap’ (peningkatan besar) bagi memperkukuhkan kemahiran dan kecemerlangan kerja.

“Industri halal antara industri strategik dan berimpak tinggi berpotensi diketengahkan dalam pasaran global dengan anggaran melebihi USD2.3 trilion setahun yang mesti dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan tempatan.

“RM12 bilion dilaburkan dalam industri halal Malaysia dan pelaburan ini berjaya memberikan lebih 100,000 peluang pekerjaan untuk pasaran tempatan, manakala eksport Malaysia bagi produk halal sehingga kini masih di tahap agak rendah dengan nilai hanya RM39 bilion berbanding pasaran halal dunia.

“Sementara itu, nilai industri halal bagi Selangor mencecah RM10 bilion dan dijangka akan terus meningkat selepas ini,” katanya.

Beliau menambah, FHS 2017 dengan tema ‘Meneraju Mesra Halal Selangor’ adalah tepat pada masanya dan medium terbaik mempromosikan produk halal kepada masyarakat, memberdayakan konsep halalan toyyiban serta meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kualiti produk halal di Selangor.

FHS 2017 anjuran JAIS berlangsung di sini selama lima hari bermula 29 November hingga 3 Disember ini.