Categories
AGAMA SELANGOR

LZS jangka kutipan zakat 2017 lebihi RM710 juta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangkakan kutipan zakat melebihi RM710 juta tahun ini melebihi sasaran sebanyak RM700 juta.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, LZS Abdul Basith Hamid berkata, sehingga November, jumlah kutipan zakat yang diterima LZS adalah sebanyak RM585.8 juta.

Manakala, katanya, sehingga tempoh itu juga, jumlah agihan zakat adalah sebanyak RM460.5 juta.

“Sehingga November lepas, jumlah kutipan zakat yang diterima LZS adalah sebanyak RM585.8 juta dan sehingga bulan lepas juga, jumlah agihan zakat adalah sebanyak RM460.5 juta.

“LZS berharap dapat mencapai sasaran kutipan zakat melebihi RM710 juta tahun ini, bagi menyantuni golongan asnaf di Selangor,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat yang disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, baru-baru ini.

Selain itu, Abdul Basith berkata LZS akan memperkenalkan kadar had kifayah (haddul kifayah) iaitu pengiraan penentuan kelayakan keluarga asnaf fakir miskin untuk memohon zakat, bermula tahun depan.

Katanya, menerusi haddul kifayah baharu, lebih ramai golongan asnaf fakir miskin dijangka dapat dikenal pasti untuk disantuni.

“Buat masa ini, kita ada 48,000 keluarga asnaf fakir miskin, dan melalui haddul kifayah baharu, kita anggar tidak kurang 60,000 keluarga asnaf fakir miskin akan kenal pasti,” katanya.

Abdul Basith memaklumkan sumbangan agihan yang diterima daripada program ‘Kasihku Zakat Selangor’ pada tahun ini adalah berjumlah RM10.7 juta dengan penyertaan daripada 30 syarikat korporat termasuk individu.

=EZY=