Categories
AGENDA NASIONAL

Pos Malaysia lancar setem edisi khas ‘Star Wars’

SHAH ALAM, 20 DIS: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) melancarkan setem edisi terhad bertemakan Star Wars dengan kerjasama The Walt Disney Company Malaysia pada 18 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, kesemua setem itu mula ditawarkan untuk pra pembelian di dalam talian Pos Malaysia menerusi www.eziemall.com, manakala pembelian secara ‘walk in’ bermula 2 Januari depan di 13 Pejabat Pos Besar seluruh negara.

“Menariknya, setiap siri itu memaparkan 10 setem khas dengan watak ikonik Star Wars antaranya Rey, Lando Calrissian dan watak kegemaran sepanjang masa, Chewbacca serta C-3PO.

“Manakala, kenderaan Star Wars dan robot yang popular juga dipaparkan seperti ‘Poe Dameron’s X-Wing’, ‘the Imperial TIE Fighter’ dan ‘fastest hunk of junk in the galaxy – the Millenium Falcon’,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Syed Md Najib berkata, koleksi itu dijual pada harga RM120 dengan set lengkap terdiri daripada dua keping setem bertebuk ‘The First Order’ dan ‘The Resistance’.

Katanya, turut terdapat pek khas yang memaparkan lembaran mini tiga keping setem robot Star Wars yang popular.

“Pek khas itu dilengkapi dengan poskad yang boleh dikoyakkan dan satu sampul ‘Millennium Falcon’ juga ditawarkan pada harga RM10 sahaja,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan butiran lanjur berkenaan setem itu boleh menghubungi Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia di talian 03-2267 2267 atau e-mel [email protected].

Categories
GLOBAL SENI

Star Wars The Last Jedi dijangka catat kutipan RM6.5 bilion

GLOBAL 27 DIS: Pengkaji filem menjangkakan filem terbaharu Star Wars: The Last Jedi’ mampu mencatat kutipan tiket mencecah AS$1.6 bilion (RM6.5 bilion) sehingga hujung minggu ini.

Filem itu kini semakin menghampiri untuk mencatatkan rekod pecah panggung sepanjang zaman apabila berjaya mengutip RM3 bilion sehingga Selasa.

Pakar industri percaya filem berkenaan berjaya merekodkan sejarah tersendiri, kerana ia kini sudah menghampiri kutipan sekuel terdahulu ‘Star Wars: The Force Awakens’ dengan jumlah RM3.8 bilion.

Sekiranya ‘The Last Jedi’ ini berjaya menambahkan koleksi kutipannya pada minggu ini tentunya ia akan memecahkan rekod tersebut sekaligus menjadi filem yang mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah.

Ramai pakar-pakar industri perfileman berpendapat bahawa angka itu mampu dipecahkan oleh ‘The Last Jedi’ berikutan ianya masih lagi mendapat sambutan hangat di seluruh dunia sehingga kini.

Filem tersebut mula tayangan perdana pada 13 Disember lalu.

=EZY=

Categories
SELANGOR SENI

Gayour: Jibam lebih dekat dengan kita daripada Star Wars

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 DIS: Walaupun sambutan suram pada minggu pertama tayangannya, filem Jibam terus melangkah ke minggu ketiga ekoran meningkatnya sambutan terhadap filem yang diadaptasi daripada novel karya kartunis terkenal Ujang.

Seorang lagi kartunis terkenal, Gayour atau nama sebenarnya Mazli Ibrahim, berkata, peminat filem tempatan wajar memberikan sokongan kepada filem terbabit ekoran filem itu memaparkan realiti kehidupan sebenar masyarakat tempatan berbanding filem keluaran Hollywood.

“Dari Novel ke ‘live action’. Tak ada sebab untuk rakyat Malaysia tidak menonton filem Jibam yang lebih dekat dengan budaya kita daripada Avengers, Justice League atau Star Wars,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini.

Jelasnya, beliau turut menggesa pencinta seni tempatan supaya memberikan sokongan terhadap filem Jibam dan tidak hanya menumpukan filem antarabangsa sahaja.

Katanya, dengan sokongan orang ramai, tidak mustahil tayangan filem Jibam mampu bertahan lebih lama di pawagam.

Filem Jibam mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 7 Disember lalu dan berjaya bertahan sehingga ke minggu ketiga tayangannya.

Filem itu turut mendapat sokongan penggiat seni tempatan seperti M. Nasir, Ayda Jebat dan ramai lagi.

=EZY=