Categories
SELANGOR

MB ucap takziah pemergian mendiang Ng Tien Chee

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong, Ng Tien Chee yang disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan, lewat malam tadi.

Menerusi cicipan di laman mikro Twitter @AmirudinShari, beliau turut berasa sedih dan terkejut menerima berita pemergian beliau.

“Saya menerima berita dukacita YB @eddiengtienchee, ADN Balakong meninggal dunia akibat nahas kemalangan jalan raya. Takziah diucapkan kepada kekuarga.

“Saya turut merasa sedih dan terkejut apabila menerima berita pemergian mendiang YB Ng Tien Chee,” katanya.

Menerusi kenyataan Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusof, Tien Chee maut dalam kemalangan di kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga Cheras-Kajang selepas melanggar belakang sebuah lori sekitar jam 12.40 pagi.

Beliau yang memandu kenderaan Nissan Xtrail disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Categories
NASIONAL

PRU14: Negara lebih baik jika bertukar Kerajaan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 JAN: Pertukaran kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) bakal menyaksikan negara melalui proses perubahan lebih baik kerana tidak terus dipimpin Umno-Barisan Nasional (BN) yang kleptokrasi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong, Ng Tien Chee berkata, ia bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menyatakan negara akan mengalami kehancuran.

Beliau berkata, tuduhan Najib itu adalah ancaman untuk menakutkan pengundi agar tidak mengundi Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Perkara ini bukan sahaja tidak benar malah ia satu penghinaan terhadap rakyat seolah-olah mereka ‘katak di bawah tempurung’.

“Ini adalah kerana Selangor dan Pulau Pinang telah bertukar kerajaan sejak 2008 bukan sahaja tidak hancur tetapi semakin maju,” katanya.

Katanya, rakyat di kedua-dua negeri itu mendapat lebih banyak kebaikan di bawah pimpinan PAKATAN berbanding dengan negeridi bawah Umno-BN.

Tambahnya ia membuktikan kenyataan Perdana Menteri itu tidak benar sama sekali dan hanya akan hancur jika terus dipimpin pemimpin kleptokrasi.

“Kenyataan beliau mengingatkan rakyat tidak seharusnya bersikap mengambil mudah suasana negara aman serta politik stabil sehingga sewenang-wenang ingin menukar kerajaan, jelas menunjukkan ketidakyakinannya Umno-BN akan memenangi PRU14,” katanya.

Categories
NASIONAL

KPDNKK perlu gerak ops seluruh negara, banteras susu palsu

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta memperluaskan operasi rampasan susu rumusan bayi palsu ke seluruh negara, bagi memastikan ia dapat dibanteras.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong, Ng Tien Chee, berkata tindakan seperti itu wajar dilakukan kerajaan demi kesihatan rakyat seterusnya mengenal pasti pihak bertanggungjawab.

“Berikutan rampasan lebih 200 kotak susu rumusan bayi disyaki palsu oleh KPDNKK, saya mendesak supaya ia diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan tidak ada sekotak pun susu berkaitan terdapat di dalam pasaran.

“Susu rumusan bayi palsu ini mengancam kesihatan bayi dan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kepada semua rakyat Malaysia, adalah wajib memperluaskan lagi kawasan operasi mereka,” katanya.

Beliau berkata, polis juga perlu turut serta agar dalang di sebalik sindiket itu dapat diberkas secepat mungkin.

“Saya harap pihak berkenaan tidak meletakkan kesihatan bayi di dalam keadaan terancam,” katanya.

Terdahulu, KPDNKK merampas 210 kotak susu rumusan bayi disyaki tiruan bernilai RM42,000 susulan aduan mengenai seorang bayi mengalami muntah teruk selepas menggunakan produk itu.

Rampasan itu hasil pemeriksaan di lima kedai ubat-ubatan dan serbaneka di sekitar Iskandar Puteri dan Skudai, Johor, Khamis lalu.

PengarahKPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011.