Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MBI – Yayasan Selangor serah 5,000 seragam sekolah rendah seluruh negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 19 DIS : Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor) menjalin kerjasama dengan Yayasan Selangor bagi menyumbang kelengkapan pakaian seragam sekolah rendah di seluruh negeri.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Jaafarudin Md Ali berkata, kerjasama itu dilaksanakan di bawah program tanggungjawab sosial MBI, Jelajah Jom Ke Sekolah.

“Sebanyak 5,000 pakaian baju sekolah rendah diagihkan kepada 111 sekolah rendah di sembilan daerah di Selangor dan ini salah satu komitmen MBI untuk menuju ke arah kebajikan.

“Kita sasarkan harapan untuk akan datang supaya jumlah 5,000 pakaian ini dapat diagihkan kepada lebih ramai golongan rakyat kurang berkemampuan di seluruh negeri,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas hadir menyerahkan bantuan pada Majlis Pelancaran Jelajah Jom Ke Selangor di Menara Yayasan Selangor, hari ini.

Pelancaran program turut menyaksikan penyerahan simbolik pakaian diserahkan kepada 111 wakil sekolah rendah seluruh Selangor.

Hadir menyerahkan bantuan berkenaan, Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin dan Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry.

Sementara itu, penerima bantuan dipilih pihak sekolah berdasarkan beberapa kriteria utama termasuklah jurang pendapatan keluarga penerima.

Dalam perkembangan lain, Jaafarudin berkata, MBI kekal komited menjayakan inisiatif berkebajikan dan kemasyarakatan demi manfaat masyarakat memerlukan.

“Kita kekal menyokong usaha berkebajikan dilaksanakan Kerajaan Negeri yang menjurus ke arah itu dan pastinya kami akan berusaha untuk memperbaiki kaedah bantuan pada masa akan datang,” katanya.

=EZY=