Categories
NASIONAL

Najib kata Melayu dibangsatkan adalah biadap, tak layak jadi PM

OLEH NAZLI IBRAHIM

KELANA JAYA, 10 DIS: Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kononnya orang Melayu akan dibangsatkan sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 mendapat kutukan keras.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, kenyataan itu merupakan sesuatu yang biadap dan tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang Perdana Menteri.

“Kalau tak mahu membincangkan masalah orang Cina, orang India pun tak apalah tapi ini soal orang Melayu pun tak dibincangkan.

“Apa yang dilakukan hanya menakut-nakutkan, antara perkara disebut dalam ucapan dasar kalau pembangkang menang di Putrajaya, kalau KEADILAN menang, Melayu akan dibangsatkan.

“Bagaimana seorang Perdana Menteri guna istilah yang cukup biadab dan tidak teratur. Ini tidak layak menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Peduli Rakyat di Padang Awam Desa Mentari di sini, malam tadi.

Jelasnya, tuduhan Najib itu jelas satu pembohongan apabila nasib Melayu selama lapan tahun di bawah naungan Pakatan Harapan di Selangor lebih baik dibandingkan dengan rekod lebih 50 tahun di bawah Umno-Barisan Nasional.

Mohamed Azmin turut menemplak Umno apabila tidak memberikan perhatian khusus kepada masalah rakyat melibatkan tekanan kos sara hidup semakin tinggi dalam perhimpunan berlangsung selama empat hari itu.

=EZY=