Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Teguran sultan perkukuh perpaduan, demi kebaikan semua

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 11 DIS: Penekanan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, supaya isu sensitif tidak dipermainkan membuktikan keperihatinan baginda supaya keharmonian dan perpaduan rakyat di negeri itu terus diperkukuhkan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata saranan Sultan Selangor itu perlu disokong semua pihak supaya kemakmuran sedia ada dapat terus dipertahankan demi kebaikan bersama.

“Pedoman tuanku supaya jangan ada mana-mana pihak memainkan isu sensitif amat tepat pada masanya, perlu dijunjung dan didakap semua pihak.

“Sultan yang mithali sentiasa bijaksana dan meletakkan kebajikan rakyat dekat dihati sanubari.

“Alhamdulillah, Selangor dikurniakan Allah SWT sultan memilki keperibadian yang ihsan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis istiadat penganugerahan darjah kebesaran Selangor sempena ulangtahun Hari Keputeraan ke-72 DYMM Sultan Selangor, di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Katanya, sementara rakyat tuntas mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan, mereka tidak boleh menerima kekebalan berpindah kepada pihak eksekutif kerana ia adalah penodaan terhadap perlembagaan iaitu ‘executive immunity is a gross violation of the letter and spirit of the constitution’.

“Rakyat menyanjung tinggi pendirian tegas Raja-Raja Melayu berhubung tindakan melampau individu dan kumpulan menggugat kestabilan serta keharmonian masyarakat majmuk.

“Raja-Raja Melayu memberikan pedoman hidup rukun damai berlandaskan prinsip Islam yang toleran, sederhana dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata, Selangor adalah sebuah negeri berdaulat memiliki silasilah kesultanan dalam kalangan negarawan, pahlawan dan ilmuan dengan sumbangan besar dalam membangunkan sistem pemerintahan kesultanan yang menjamin keadilan, ketenteraman juga keteraturan.

Demi kepedulian kepada rakyat, Dato’ Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri membentangkan Belanjawan 2018 yang menjamin sekalian rakyat termasuk nelayan, petani, peniaga kecil, pekerja dan penjawat awam mendapat pembelaaan kebajikan serta menikmati kekayaan negeri melalui Insiatif Peduli Rakyat seperti perumahan rakyat, kesihatan asas, pendidikan berinovsi juga pembangunan usahawan.

“Selangor kekal sebagai negeri penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan mencatat 22.7 peratus bagi 2016 dan terus mencipta nilai dengan pelaburan berteknologi dan berimpak tinggi yang mempunyai jangkauan global.

“Usaha ini berjaya mencipta pekerjaan yang substantif, menjurus kepada peningkatan pendapatan rakyat dan mengangkat darjat kehidupan mereka,” katanya.