Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri menjunjung kasih titah ucapan Sultan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan Negeri menjunjung kasih ke atas titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, baginda dalam titah ucapan yang padat itu menitahkan supaya semua pihak mempertahankan perpaduan rakyat.

“Ini kerana dengan perpaduan ini kita dapat terus memakmurkan dan membangunkan Negeri Selangor,” katanya kepada media seusai Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam, DNS Yang Ke-13 Tahun 2018 di DNS di sini, hari ini.

Jelasnya, baginda juga berkenan terhadap langkah Kerajaan Negeri menjalankan pelbagai inisiatif yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal sahaja tetapi juga pembangunan kemanusiaan.

Katanya, Kerajaan Negeri juga terharu ke atas limpah perkenan yang diberikan baginda ke atas usaha Kerajaan Negeri melaksanakan dasar peduli rakyat dalam petadbirannya.

“Saya percaya dengan kejayaan pelaksanaan dasar dan program peduli rakyat ini, rakyat akan terus memberi sokongan dan dukungan kepada Kerajaan Negeri sedia ada,” katanya lagi.