Categories
SELANGOR

Pembukaan Persidangan Penggal Ke-6 DNS berlangsung penuh istiadat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Pembukaan Persidangan Penggal Ke-6 Dewan Negeri Selangor (DNS) Yang Ke-13 Tahun 2018 berlangsung penuh istiadat pagi tadi.

Istiadat diadakan di Bangunan DNS itu dirasmikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Istiadat bermula dengan Kawalan Kehormat Utama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyembahkan Hormat Sedia sebaik sahaja keberangkatan tiba baginda berdua sebelum disusuli Lagu Negeri Selangor.

Selepas itu baginda melakukan pemeriksaan perbarisan dengan diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Speaker DNS, Hannah Yeoh.

Sebaik selesai pemeriksaan perbarisan, Lagu Negeri Selangor sekali lagi berkumandang menandakan berakhirnya upacara perbarisan yang diadakan di Dataran Dewan Negeri itu.

Baginda kemudiannya berangkat masuk ke Bangunan DNS dengan melalui barisan jejawat-jejawat istana yang terdiri daripada empat jejawat berpedang, 24 jejawat pembawa 8 tombak, 16 lembing dan payung diraja.

Sebelum menyampaikan titah ucapan, baginda turut berkenan dalam sesi fotografi bersama ahli-ahli DNS.