Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jenazah ayahanda Tengku Permaisuri Selangor selamat dikebumi

SHAH ALAM, 20 APRIL: Jenazah ayahanda Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor selamat dikebumikan di Makam Diraja, di sini jam 1.45 tengah hari.

DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mencemar duli menghadiri majlis pengebumian Allahyarham Abdul Rahman Baba, 89, diiringi Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut memberi penghormatan terakhir ialah barisan pentadbir Kerajaan Negeri diketuai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Agama Zawawi Ahmad Mughni dan EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail.

Pengebumian dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga serta rakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Terdahulu jenazah dikafan dan disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Tengku Permaisuri sumbang barangan keperluan harian untuk asnaf

SHAH ALAM, 18 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyumbang barangan keperluan harian kepada golongan asnaf di Selangor.

Selangor Royal Office dalam kenyataan memaklumkan baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan di beberapa kawasan di negeri ini.

“Sumbangan baginda itu diserahkan kepada wakil Kelab Sukan Rekreasi Pengembara Angkasapuri Radio Televisyen Malaysia iaitu Setiausaha Kelab, Salawati Abd Rashid.

“Sumbangan itu akan diagihkan menerusi program jelajah bantuan kebajikan kelab berkenaan,” katanya di Facebook.

Majlis ringkas penyerahan barangan sumbangan itu diadakan di pekarangan Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

 

Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Tengku Permaisuri Selangor terima kunjungan LKPI Klang

SHAH ALAM, 2 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menerima menghadap delegasi dari Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Selangor daerah Klang, hari ini.

Pejabat Istana Selangor melalui kenyataan berkata, kunjungan itu diwakili penaungnya yang juga adinda DYMM Sultan Selangor, Tengku Putri Arafiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

“Baginda kemudian berkenan menerima menghadap Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Orang Kurang Upaya Akal Selangor dan Wilayah Persekutuan yang diwakili Presidennya, Datin Fauziah Idris.

“Tengku Permaisuri adalah Penaung Diraja kepada persatuan berkenaan,” kata kenyataan itu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor terima kunjungan delegasi Indonesia, Perancis

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 11 MEI: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap beberapa delegasi di Istana Alam Shah, Klang, baru-baru ini.

Menerusi laman rasmi facebook Selangor Royal, baginda yang diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyantuni kunjungan hormat Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, TYT Rusdi Kirana dan isterinya, Ibu Sien Rusdi.

DYMM Tuanku kemudian berkenan pula menerima menghadap Duta Besar Perancis ke Malaysia, H.E. Frederic Laplanche.

Turut mengiringi, YAM Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Seterusnya, baginda urut menerima menghadap dan mengadakan pertemuan ringkas dengan Panglima 11 Briged, Brig. Jeneral Toh Choon Siang.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor berkenan ziarah Kompleks Makam Diraja Jugra

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 27 APR: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menziarahi Kompleks Makam Diraja Jugra di Kuala Langat, pada 25 April lalu.

Menerusi kenyataan laman rasmi facebook Selangor Royal, baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Kompleks makam itu menempatkan makam Sultan Selangor Kelima, Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Abdullah yang mangkat pada bulan Februari 1898.

DYMM Tuanku kemudian menziarahi Makam Diraja Kampung Bandar, Jugra, yang menjadi tempat persemadian kerabat-kerabat Diraja Selangor dari zaman terdahulu sehingga kini.

Di sini juga telah disemadikan Bonda kepada Sultan Selangor Ketujuh, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, Allahyarhamah Cik Hasnah Binti Pilong.

Sebelum berangkat pulang, Baginda turut sempat menyantuni penduduk-penduduk kampung yang hadir menyertai bacaan doa dan tahlil.

Pada masa sama, baginda turut berkenan singgah ke Masjid Diraja Sultan Ala’eddin Kampung Bandar yang sedang dalam proses dinaiktaraf dan dipulihara.

Turut mengiringi baginda Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Masjid yang dirasmikan oleh Almarhum Sultan Sir Ala’eddin Suleiman Shah pada 1926 dan dikenali dengan ciri-ciri rekabentuk India-Muslim dan Islam Timur Tengah ini masih dalam fasa terakhir kerja pemuliharaan sejak April 2015.

Ia bakal siap sepenuhnya menjelang awal Mei 2018.

Untuk rekod, Masjid Diraja Sultan Ala’eddin ini telah diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapak tanah Bersejarah di bawah Akta Bendapurba Bilangan 168/1976 pada 24 Julai 1980.

Ia juga didaftarkan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) pada 2008 oleh Jabatan Warisan Negara.

Categories
SELANGOR

Pembukaan Persidangan Penggal Ke-6 DNS berlangsung penuh istiadat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Pembukaan Persidangan Penggal Ke-6 Dewan Negeri Selangor (DNS) Yang Ke-13 Tahun 2018 berlangsung penuh istiadat pagi tadi.

Istiadat diadakan di Bangunan DNS itu dirasmikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Istiadat bermula dengan Kawalan Kehormat Utama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyembahkan Hormat Sedia sebaik sahaja keberangkatan tiba baginda berdua sebelum disusuli Lagu Negeri Selangor.

Selepas itu baginda melakukan pemeriksaan perbarisan dengan diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Speaker DNS, Hannah Yeoh.

Sebaik selesai pemeriksaan perbarisan, Lagu Negeri Selangor sekali lagi berkumandang menandakan berakhirnya upacara perbarisan yang diadakan di Dataran Dewan Negeri itu.

Baginda kemudiannya berangkat masuk ke Bangunan DNS dengan melalui barisan jejawat-jejawat istana yang terdiri daripada empat jejawat berpedang, 24 jejawat pembawa 8 tombak, 16 lembing dan payung diraja.

Sebelum menyampaikan titah ucapan, baginda turut berkenan dalam sesi fotografi bersama ahli-ahli DNS.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permasuri lawat Klinik Veterinar UPM

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 MAC: DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Fakulti Perubatan Veterinar di Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melawat Klinik Veterinar yang menyediakan perkhidmatan untuk orang awam dan entiti.

Klinik terbabit menempatkan Unit Perkhidmatan Makmal Veterinar (VLSU) yang menyediakan kemudahan perkhidmatan diagnosis makmal.

Baginda bertitah Klinik Veterinar di Fakulti Perubatan Veterinar UPM itu boleh menjadi penanda aras kepada klinik veterinar lain dari aspek perkhidmatan inklusif yang ditawarkan untuk setiap haiwan peliharaan untuk rawatan.

“Usaha dilakukan fakulti ini mampu memberi kesedaran kepada pemilik haiwan peliharaan menjaga kebajikan haiwan masing-masing dan mendapatkan rawatan serta konsultasi terbaik,” titahnya.

Baginda turut tertarik dengan setiap perkhidmatan perubatan disediakan termasuk kelengkapan dan peralatan perubatan yang canggih serta moden bagi merawat haiwan peliharaan dan ternakan.

“Saya terharu dan bangga melihat sendiri keprihatinan dan tahap keseriusan kakitangan termasuk pelajar UPM dalam bidang veterinar yang pakar dan mahir dalam mengendalikan haiwan di sini,” titah baginda.

Baginda berharap klinik terbabit digunakan sebaiknya bagi tujuan membendung dan mengawal populasi kucing dan anjing terbiar daripada terus membiak tanpa jagaan sewajarnya.

Pada masa sama, baginda mahu klinik itu aktif dalam menjalankan rawatan pemandulan (neuter).

“Saya juga ingin menyeru buat kesekian kalinya kepada penggemar haiwan peliharaan untuk menjadi keluarga angkat kepada haiwan-haiwan terbiar,” titahnya.

Keberangkatan Baginda disambut Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris; Ahli Lembaga Pengarah UPM, Puan Sri Datuk Seri Rohani Abdullah dan Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Prof Dr Mohd Hair Bejo.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri dan Raja Muda cemar duli ziarah mangsa banjir

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 20 OKT: DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin berserta DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir di sini, malam tadi.

Bertempat di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Batu 4, baginda berdua mula tiba pada jam 7.30 malam dan meluangkan masa lebih sejam di sana.

Seramai 43 keluarga merasa bertuah apabila Raja Muda dan Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan menikmati santapan malam bersama mereka.

2ac9cbba-bed7-41fb-9586-2760db9c30a6Terlebih dahulu, baginda berdua mesra melayan kesemua 167 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan itu sejak beberapa hari lalu.

Malah, Raja Muda dan Tengku Permaisuri dilihat sudi membantu sukarelawan menyediakan makan malam selain menghidang kepada mangsa.

Turut mengiringi Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

98d689a5-fb9a-4b96-ba95-a1bfdb45966dSehingga jam 2.30 petang semalam, hanya dua pusat pemindahan sementara berstatus aktif dengan menempatkan 97 keluarga dengan 405 mangsa.

Selain Dewan Dato’ Ahmad Razali, Batu 4, sebuah lagi pusat masih aktif ialah Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelantikan DYMM Tengku Permaisuri Selangor

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 9 SEPT : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik Konsort (Isteri), Yang Amat Berbahagia Puan Norashikin Abd Rahman sebagai Tengku Permaisuri Selangor berkuatkuasa pada 8 September lalu dengan gelaran DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Baginda juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor yang membawa gelaran ‘Datin Paduka Seri’ kepada Konsort (Isteri) baginda, Yang Amat Berbahagia Puan Norashikin Abd Rahman.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais dalam kenyataan rasmi Istana Alam Shah, hari ini.

Pengurniaan itu diberikan setelah baginda berunding dengan Dewan di-Raja Selangor yang bersidang semalam.

Pada 31 Ogos lalu, baginda selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Norashikin Abdul Rahman yang juga personaliti televisyen di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

-nR-