Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pangkah logo Mata, lawan kleptokrat

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 2 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengajak rakyat memangkah logo mata (KEADILAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei ini.

Katanya, hal itu bagi menguburkan Barisan Nasional (BN) selama-lamanya selepas 60 tahun menakluk pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“Ada dua sahaja parti serius. Satu, gambar dacing yang kini sudah jadi dacing senget. Kedua, gambar mata, ini Pakatan Harapan (PAKATAN), jadi pangkah.

“Yang lain-lain itu, tak payah menyibuklah. Jangan kira, itu kacau saja. Ingat masuk sorang-sorang boleh menang ke? Sokong PAKATAN, kerana kita mahu lawan kleptokrat.

“Masuk sorang-sorang tidak boleh bentuk kerajaan. Jadi buat apa rakyat nak pilih parti ini. Jangan bagi undi pada parti yang mahu merosakkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 10,000 rakyat di program Jelajah Harapan Rakyat di Taman Sri Andalas, di sini.

Hadir sama Presiden Amanah yang juga calon Parlimen Kota Raja (P111) Mohamad Sabu dan calon KEADILAN DUN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei.

Turut hadir calon KEADILAN DUN Sentosa (N48), Dr G Gunaraj dan calon DUN Kota Kemuning (N50), V Ganabatirau.

Mohamed Azmin berkata, tindakan rakyat memangkah parti yang tepat adalah bagi menyelamatkan diri sendiri dan generasi akan datang supaya lebih terbela.