Categories
NASIONAL

KDN bincang calon Ketua Polis Negara, Timbalan dalam masa terdekat

SEMENYIH, 9 FEB: Senarai calon bagi mengisi jawatan ketua polis negara dan timbalannya akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, satu perbincangan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dibuat bagi memilih calon untuk kedua-dua jawatan penting badan keselamatan negara itu.

“Kita akan putuskan nanti pengganti bagi kedua-dua jawatan penting dalam (pasukan) polis. Insya-Allah saya akan berbincang dengan Perdana Menteri (Dr Mahathir) dan akan diputuskan dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa BERSATU Hulu Langat dan ketua kampung serta menziarahi keluarga mantan Anggota Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Allahyarham Bahtiar Mohd Nor.

Sebelum ini, dilaporkan kontrak perkhidmatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim akan tamat pada Mei ini.

Sementara itu, ditanya tentang isu gejala dadah ketika ini, Muhyiddin secara peribadi mengakui masalah terbabit semakin membimbangkan.

“Trend dadah membimbangkan kerana ada dadah jenis baharu dan sudah tersebar luas serta membabitkan orang awam serta golongan bawah umur 18 tahun.

“Bagaimanapun, KDN (Kementerian Dalam Negeri) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mempunyai rancangan khusus yang berterusan untuk menangani masalah itu,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 115,000 kes dadah dikesan bagi tempoh 2014 hingga tahun lalu dengan 3.2 peratus atau 3,680 kes membabitkan golongan bawah 18 tahun.