Categories
AGENDA GLOBAL

Tragedi Christchurch: Penyerang masuk dalam senarai entiti pengganas

WELLINGTON, 1 SEPT: Pesalah yang bertanggungjawab ke atas serangan keganasan di Christchurch pada 15 Mac 2019, dimasukkan ke dalam senarai entiti pengganas, demikian umum Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern pada Selasa.

“Penetapan itu menunjukkan New Zealand sangat mengecam keganasan dan ekstremisme dalam apa jua bentuk,” kata Arden dalam satu kenyataan lapor agensi berita Xinhua.

Perdana Menteri itu berkata ia dilakukan berdasarkan undang-undang New Zealand, membekukan aset entiti pengganas dan menjadikannya satu kesalahan jenayah jika turut serta atau menyokong aktiviti entiti berkenaan.

“Ia bagi memastikan pelaku tidak boleh terlibat dalam membiayai keganasan pada masa akan datang,” kata Ardern.

“Kita mempunyai tanggungjawab kepada New Zealand dan masyarakat antarabangsa untuk mencegah keganasan,” katanya.

Kini terdapat 20 entiti pengganas di bawah undang-undang New Zealand, termasuk dalang kejadian Christchurch itu.

Di bawah Seksyen 22 Akta Memerangi Keganasan 2002, Arden menetapkan individu atau kumpulan sebagai entiti pengganas, atas nasihat pegawai.

Maklumat lanjut mengenai proses itu boleh didapati di laman web Polis New Zealand, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Insiden Christchurch: Mahkamah tentukan nasib penyerang masjid hari ini

ANKARA, 24 OGOS: Penghakiman terhadap pengganas yang bertanggungjawab melakukan serangan di masjid Christchurch, insiden berdarah paling menggemparkan di New Zealand, bermula Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Brenton Tarrant, 29, seorang kulit putih warga Australia, mengaku membunuh 51 orang beragama Islam dalam kejadian pada Jumaat, 15 Mac 2019.

Insiden itu mencetuskan kejutan di seluruh dunia, mendorong Perdana Menteri Jacinda Ardern memperkenalkan undang-undang pemilikan senjata api yang lebih ketat.

Penghakiman bermula di Mahkamah Tinggi Christchurch turut dihadiri mereka yang terselamat dalam kejadian itu dan juga keluarga mangsa, lapor The New Zealand Herald.

Pada bulan lalu lelaki itu memecat pasukan guamannya dan mewakili dirinya sendiri.

Walaupun laporan langsung dari kamar mahkamah dilarang, peralatan perlindungan diri (PPE) tetap disediakan untuk orang yang hadir.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Tragedi Christchurch: Lelaki dipenjara 21 bulan kongsi video pembunuhan

WELLINGTON, 18 JUN: Seorang lelaki rakyat New Zealand yang mengaku mengedar semula video penstriman langsung serangan ganas Christchurch dihukum penjara 21 bulan pada Selasa, lapor agensi berita China Xinhua.

Philip Arps, pengendali sebuah syarikat yang menggunakan imej neo-Nazi, mengaku bersalah pada April bagi dua pertuduhan mengedar bahan yang tidak menyenangkan.

Lelaki berusia 44 tahun itu mengaku bahawa sehari selepas insiden pembunuhan di masjid itu, beliau menghantar video yang diubah suai dengan rerambut silang serta “kiraan pembunuhan” dan mengedarkan video yang tidak diubah suai kepada 30 orang.

Pada prosiding pagi Selasa yang berlangsung di Mahkamah Daerah Christchurch, Hakim Stephen O’Driscoll berkata apabila ditanya pendapat Arps mengenai video itu, tertuduh menjawab “ia adalah hebat.”

Dalam penghakiman beliau, O’Discoll berkata oleh kerana pandangan ideologi Arps begitu ekstrim, tidak ada prospek untuk rehabilitasi dan hukuman yang dijatuhi ke atas tertuduh perlu menyingkirkan tahanan rumah.

Arps turut dikenakan syarat pasca pembebasan selama enam bulan yang menyaksikan beliau perlu menghadiri penilaian psikologi, tidak mengakses internet dan menjalani sesi penilaian serta kaunseling bagi penggunaan alkohol dan dadah.

Hakim O’Driscoll berkata Arps berhasrat membesar-besarkan kematian anggota komuniti Islam dan sebarang hukuman penjara yang singkat adalah tidak wajar.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Penganas serang masjid di New Zealand mengaku tidak bersalah

MOSCOW, 14 JUN: Warga Australia, Brenton Tarrant mengaku tidak bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di bandar Christchurch, New Zealand, lapor agensi berita Sputnik, memetik media tempatan pada Jumaat.

Perbicaraan kes itu dijadual pada 4 Mei 2020.

Tarrant tidak hadir di Mahkamah Tinggi Christchurch, sebalikya muncul menerusi persidangan video dari penjara berkeselamatan tinggi di Auckland, demikian menurut laporan Stuff.

Tarrant berdepan 51 pertuduhan melakukan pembunuhan dan 40 pertuduhan cubaan membunuh, selain terlibat dalam serangan pengganas.

Mahkamah mengarahkan Tarrant ditahan sehingga 17 Ogos sehingga kes didengar semula.

Laporan mengatakan kira-kira 80 waris mangsa hadir pada sisi pendengaran kes itu pada Jumaat.

Serangan di Christchurch 15 Mac lalu meragut 51 nyawa, manakala puluhan lagi cedera.

– BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Insiden Christchurch: Polis NZ kemuka pertuduhan keganasan terhadap penembak

MOSCOW, 21 MEI: Polis New Zealand mendakwa Brenton Tarrant, lelaki yang melepaskan tembakan maut di dua buah masjid di negara itu atas pertuduhan keganasan selain pertuduhan membunuh dan cubaan membunuh yang dikemukakan terhadapnya sebelum ini, lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan polis pada Selasa.

“Polis telah bertemu keluarga mangsa dan mereka yang terselamat dalam serangan Christchurch pada 15 Mac untuk memaklumkan pertuduhan baharu itu kepada mereka selain mengemas kini siasatan polis selain proses mahkamah seterusnya.

“Satu pertuduhan di bawah Seksyen 6A Akta Tindakan Keganasan 2002 telah dikemukakan terhadap Brenton Tarrant,” menurut kenyataan itu.

Menurut polis, Tarrant kini berdepan 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh dan satu pertuduhan di bawah Akta Tindakan Keganasan.

New Zealand digegarkan dengan insiden tembakan rambang pada 15 Mac di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood di Christchurch.

Tragedi itu mengorbankan 50 nyawa dan menyebabkan 50 orang cedera.

Tarrant ditahan sejurus selepas kejadian dan berada dalam tahanan sejak itu.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Menteri: Gereja diserang kerana dendam Christchurch

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

COLOMBO, 23 APR: Menteri Pertahanan Sri Lanka mendakwa serangan bom Ahad lalu sebagai tindak balas terhadap tembakan yang mengorbankan 50 orang Islam di Christchurch, New Zealand.

Berucap di Parlimen, Ruwan Wijewardana berkata, siasatan awal menunjukkan siri pengeboman itu dilakukan oleh kumpulan radikal Jamaah Tawheed Nasional (NTJ), lapor portal CNN.

Bagaimanapun sehingga kini tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan terhadap penganut Kristian, serta pelancong, yang menyambut Hari Paskah.

Pada 21 April lalu, beberapa siri pengeboman yang menyasarkan gereja dan hotel di tiga bandar di Sri Lanka mengorbankan 321 orang dan mencederakan beberapa ratus yang lain.

Setakat ini, seramai 40 orang suspek sudah ditahan.

Pertengahan Mac lalu, dua buah masjid di Christchurch diserang oleh seorang pengganas sayap kanan kulit putih.

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Agong zahir takziah, simpati keluarga Muhammad Haziq

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, remaja Malaysia yang terkorban dalam insiden tembakan rambang di Christchurch, New Zealand, pada 15 Mac lalu.

Baginda turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya menghormati perasaan serta memberikan sokongan kepada keluarga mangsa yang maut dan juga cedera dalam mengharungi ujian itu.

“Seri Paduka juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan hasutan berunsur kebencian yang disebarkan melalui pihak-pihak tidak bertanggungjawab, termasuk menggunakan alasan kebencian terhadap ajaran Islam dan penganutnya.

“Tiada agama yang mendorong penganutnya untuk mengamalkan sebarang bentuk keganasan terhadap individu yang lain,” menurut kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah di atas perhatiannya dalam mengendalikan insiden itu, termasuk dengan menghantar pegawai kanan daripada kementerian dan juga pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington untuk berada di Christchurch bagi menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang turut ke Christchurch bagi memberi sokongan dan bantuan.

“Penghargaan juga kepada kerajaan New Zealand atas kerjasama dan bantuan yang dihulurkan kepada para mangsa yang terlibat termasuk daripada segi mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan,” menurut baginda.

Muhammad Haziq antara 50 orang yang terbunuh dalam tembakan rambang pada 15 Mac lalu yang dilakukan seorang lelaki pengikut ideologi ketuanan bangsa kulit putih di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch.

Bapa Mohd Haziq, Mohd Tarmizi Shuib, 42, dan dua lagi rakyat Malaysia, Muhammad Nazril Hisham Omar, 46, dan Rahimi Ahmad, 39, turut cedera dalam serangan itu.

– BERNAMA

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

ADN bukan Islam berselendang, solidariti insiden Christchurch

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Sebagai tanda solidariti terhadap insiden tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu, beberapa Ahli Dewan Negeri wanita bukan Muslim menunjukkan rasa hormat dengan memakai selendang semasa Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

Antara mereka yang kelihatan memakai selendang pada Persidangan DNS adalah Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze; ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, ADN Kampung Tunku, Lim Yi Wei dan ADN Balakong, Wong Siew Ki.

Difahamkan, Kempen “Head Scarf for Harmony” itu diwujudkan selepas wanita di New Zealand takut keluar rumah dengan tudung kepala yang mungkin menjadi sasaran keganasan.

Berdasarkan kempen itu, mereka digalakkan untuk menyebarkan mesej kemanusiaan sejagat dan sebarkan kasih sayang sesama insan di seluruh dunia menerusi poskan gambar atau status di sosial media samada Facebook, Twitter atau Instagram masing-masing.

Terdahulu, insiden penembakan secara rambang itu, berlaku pada 1.40 tengah hari (8.40 pagi waktu Malaysia), Jumaat lalu meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa manakala puluhan yang lain cedera.

Tragedi itu turut menyaksikan seorang remaja Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang dilaporkan hilang sebelum ini meninggal dunia dalam insiden tembakan rambang itu.

 

 

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Azan bergema di NZ, Mujahid solat Jumaat di Christchurch

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Solat Jumaat di Hagley Park South di Christchurch hari ini turut dihadiri wakil rasmi kerajaan Malaysia, selepas seminggu serangan pengganas di dua masjid di bandar raya New Zealand yang menyebabkan 50 orang terkorban dan berpuluh lagi cedera.

Malaysia diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang berlepas ke Christchurch, semalam.

Dalam laman Facebook rasminya hari ini, beliau berkata telah mengadakan pertemuan dengan wakil rasmi kerajaan New Zealand dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Nur Izzah Wong Mee Choo serta beberapa warga Malaysia yang tinggal di Christchurch.

Mujahid mengucapkan terima kasih kepada kerajaan New Zealand atas keprihatinan mereka dan menghulurkan banyak bantuan kepada mangsa yang terjejas.

Muhammad Haziq merupakan antara 50 orang yang terbunuh dalam tembakan rambang pada 15 Mac lalu yang dilakukan oleh seorang lelaki ‘white supremacist’ (percaya bahawa hanya golongan kulit putih paling mulia) di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch.

Bapa Mohd Haziq, Mohd Tarmizi Shuib, 42, dan dua lagi rakyat Malaysia, Muhammad Nazril Hisham Omar, 46, dan Rahimi Ahmad, 39, turut cedera dalam serangan itu.

Mujahid, dalam temu bual dengan Astro Awani berkata, orang ramai harus mengambil pengajaran daripada insiden itu.

“Hari ini ramai wanita New Zealand memakai tudung sebagai tanda solidariti dengan masyarakat Muslim dan keluarga mangsa,” katanya.

Beliau juga mengatakan azan juga dilaungkan di seluruh negara itu pada hari ini sebagai tanda penghormatan kepada semua mangsa yang terlibat.

Astro Awani melaporkan buat pertama kalinya laungan azan semasa solat Jumaat disiarkan secara langsung di New Zealand, hari ini.

Pemerhati yang hadir semasa solat Jumaat di Hagley Park South itu turut memberi penghormatan dengan berdiam diri sepanjang azan dilaungkan Imam Lateef.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Enam lagi keluarga mangsa tembakan diterbangkan ke Christchurch

SEPANG, 22 MAC: Enam lagi anggota keluarga mangsa insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, diterbangkan ke Auckland, New Zealand malam tadi untuk melawat Rahimi Ahmad dan Mohd Nazril Hisham Omar yang masih dirawat di hospital.

Keluarga kepada Rahimi yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH0131 ke Auckland, New Zealand pada jam 11.10 malam tadi ialah adik perempuan, Nor Nadiah Ahmad, 29, dua ibu saudara Robiah Salleh, 60, dan Azizah Mohmad, 60; serta anak Nor Nadiah Khairil Mikhail Khairil Azrizal, 2 tahun.

Sementara adik dan kakak Nazril, iaitu Rosna Liza, 45, dan Rosmawati, 51, juga mengikuti penerbangan sama.

Turut hadir untuk menghantar mereka ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC) Muhammad Bakthiar Wan Chik.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) , Muhammad Bakhtiar yang mengutuk sekeras-kerasnya tragedi itu, mengucapkan terima kasih kepada MAS yang menaja tiket penerbangan Kuala Lumpur- Auckland- New Zealand.

“MAS hanya terbang ke Auckland dan turut menaja penerbangan seterusnya ke Christchurch menaiki New Zealand Air.

“Saya bercakap dengan isteri Rahimi pagi ini dan isterinya memberitahu Rahimi stabil selepas empat pembedahan,” katanya.

Sementara itu, adik Rahimi, Nor Nadiah berkata, abangnya masih berada di hospital dan sudah menjalani pembuangan serpihan satu peluru yang tembus di rusuk kanan badan, melalui pembedahan secara berperingkat.

“Rahimi boleh bercakap dan memberikan respons positif apabila namanya dipanggil oleh ibu dan abang saya. Saya beharap keadaan abang beransur lebih baik selepas ini,” katanya ketika ditemui di KLIA tadi.

Rosna Liza berkata, abangnya Mohd Nazril akan dipindahkan ke wad biasa untuk berehat walaupun keadaannya dilaporkan stabil.

Semalam, Kementerian Luar Negeri mengesahkan Muhammad Haziq, 17, merupakan antara 50 mangsa yang terbunuh dalam tragedi penembakan di Christchurch, Jumaat lepas.

Laporan media menyebut jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di New Zealand pada 12 tengahari waktu Malaysia.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

DNS sebulat suara kutuk serangan di Christchurch

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MAC: Dewan Negeri Selangor (DNS) sebulat suara meluluskan usul tergempar mengutuk serangan berdarah di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu.

Usul tersebut dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Saari Sungib di bawah Peraturan Tetap 17(1) dan dibahaskan hampir satu jam oleh empat wakil kerajaan dan seorang wakil pembangkang.

Antara ADN yang mengambil bahagian bagi membahaskan usul tersebut adalah Syamsul Firdaus Mohamed Supri (Taman Medan), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), Lim Yi Wei (Kampung Tunku), Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Law Weng San (Banting).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam penggulungannya berkata, tindakan kejam dan melanggar batasan kemanusiaan itu sememangnya satu perlakuan ekstrim serta diluar pemikiran manusia.

“Semua pihak perlu sepakat untuk bersama-sama menolak dan tidak membenarkan unsur-unsur sedemikian berlaku di negeri ini.

“Saya minta agar semua pihak tidak terpengaruh dengan anasir-anasir tersebut yang memberi kesan buruk buat masyarakat,” katanya.

Setakat ini, 50 orang dilaporkan terkorban dalam kejadian tembakan yang berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand.

Dalam pada itu, Speaker DNS, Ng Suee Lim menggesa Kerajaan Negeri untuk mengukuhkan dasar dan program keharmonian sesama budaya di negeri ini bagi meningkatkan sikap saling menghormati antara satu sama lain.

Katanya, Kerajaan Negeri juga perlu menguruskan fungsi atau peranan institusi surau, masjid dan institusi agama lain di Selangor sebagai medium menyebarkan mesej keamanan serta menghilangkan prejudis terhadap agama dan bangsa lain.

Categories
NASIONAL

Serangan masjid: Kerajaan sudah ambil tindakan sewajarnya bantu mangsa

PARIS, 19 MAC: Kerajaan terutama menerusi Kementerian Luar melaksanakan tindakan sewajarnya bagi membantu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa atau terkesan dalam insiden keganasan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, pada 15 Mac lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sejurus berita mengenai tragedi itu disiarkan, Kementerian Luar menerusi Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah sudah mengeluarkan kenyataan untuk membantu keluarga mangsa.

“Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala Kementerian Luar (Datuk Nadzirah Osman) juga telah pergi ke New Zealand untuk memberikan bantuan kepada keluarga mangsa di sana.

“Jadi janganlah menyatakan seperti kerajaan tidak melakukan sepatutnya kerana kerajaan dan Kementerian Luar Negeri telah membuat apa yang perlu untuk membantu rakyat kita di sana,” katanya kepada BERNAMA dan RTM di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris di Malaysia, semalam yang melaporkan mengenai kekecewaan anggota keluarga mangsa tragedi itu terhadap kekurangan bantuan daripada pihak berkuasa Malaysia di negara itu.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, beliau berkesempatan berhubung dengan anggota keluarga kepada dua mangsa tembakan itu iaitu Prof Dr Zurinawati Mohyi dan Noor Azila Abd Wahid.

Dr Wan Azizah berkata, Zurinawati yang merupakan isteri kepada mangsa Mohd Nazril Hisham Omar dan Noor Azila isteri kepada Rahimi Ahmad menyatakan bahawa suami mereka berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan.

“Saya difahamkan seorang lagi mangsa yang cedera, Mohd Tarmizi Shuib juga berada dalam keadaan stabil, namun kita masih lagi tidak mendengar khabar mengenai anaknya berusia 17 tahun yang masih hilang, kita harapkan dia akan ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Dalam sidang media yang sama, Dr Wan Azizah berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat Biro Pengurusan Transformasi Sosial (MOST) yang dipengerusikannya dan merakamkan penghargaan kepada semua anggota negara yang terlibat dalam menunjukkan komitmen untuk merealisasikan cadangan dan pelan tindakan yang dipersetujui berkaitan kajian dan pembangunan mengenai kemanusiaan dan sosial.

“Wakil Ketua Pengarah UNESCO, Angela Melo pada mesyuarat itu turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia sebagai sebuah negara contoh susulan sumbangan dan kepimpinan dalam MOST khususnya sebagai presiden MOST bagi tempoh 2017-2019,” katanya.

Selain mempengerusikan mesyuarat itu, Dr Wan Azizah yang dalam rangka lawatan kerja empat hari di negara ini bermula pada 17 Mac lalu akan mempengerusikan Sesi ke-14 Majlis Antara Kerajaan bagi MOST hari ini dan esok di bangunan ibu pejabat UNESCO di sini.

– BERNAMA