Categories
AGENDA

Polis buka 266 kertas siasatan berita palsu Covid-19

SHAH ALAM, 19 JULAI: Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka 266 kertas siasatan berhubung berita palsu Covid-19 sehingga semalam.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata daripada jumlah itu sebanyak 172 kes dalam siasatan, 30 didakwa di mahkamah, 12 diberi notis amaran, 13 proses perbicaraan dan 17 telah mengaku bersalah.

“Bagaimanapun, tiada pertambahan kertas siasatan dibuka dalam tempoh lebih dua bulan lalu, sekali gus menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap penyebaran berita palsu mulai meningkat.

“Namun, polis dan SKMM masih dalam proses penilaian beberapa laporan yang diterima mengenai kes itu mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) membuat 352 penafian berita palsu.

“Justeru, masyarakat diingatkan berhati-hati sebelum sebar sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari www.sebenarnya.my untuk menyemak kebenaran berita.”