Categories
BUDAYA RENCANA

Cerita orang mengandung

Oleh Farahin W

SELEPAS ketua kampung kehilangan dua orang anak dan isterinya akibat lemas, tiada seorang pun penduduk kampung dibenarkan beranak dua. Masing-masing punya anak hanya seorang. Tapi siapa tahu mungkin ada diam-diam menyembunyikan anak dalam tempayan? Dalam almari kayu? Celah-celah tong beras, dalam bilik gelap? Perkara ini kalau sampai ke pengetahuan ketua, amuknya boleh meranapkan seluruh kampung. Pernah keluarga Maimunah dihalau keluar apabila dia beranak lagi satu. Hampir-hampir Maimunah menggugurkan kandungan, namun nasihat orang ramai akhirnya memujuknya agar menjaga kandungan tersebut. Tapi, malang – mereka tetap dihalau.

Beginilah, perempuan-perempuan di kampung. Masing-masing nampak membusung. Apabila ditanya adakah mereka mengandung, semuanya marah-marah kerana dituduh gemuk. Tapi kalau diselidik, mereka sebenarnya sedang mengandung. Cuma mereka tak berani bersalin. Takutkan amuk ketua kampung.

“Aku fikir kalau begini, kita akan mati menanggung beban berat bertahun-tahun. Kandunganku sudah setahun usianya. Suamiku melarang keras aku melahirkan. Tapi, tiap-tiap malam mengajak aku bersenggama,” Siti meluahkan rasa. Perut besarnya diusap-usap. Sekejap-sekejap dapat dirasakan tendangan dari dalam perut.

“Yalah, Siti! Aku sudah11 bulan. Ikutkan hati, mahu sahaja aku lahirkan. Itu pun, nasib baik dia benarkan kita bersuami. Kalau tidak, menjandalah kita semua,” giliran Leha menepuk-nepuk perut dan mengurut pinggang. Dalam fikirannya, dia mahu beranak dan sembunyikan anaknya dalam tempayan. Besar nanti, anaknya akan dihantar ke bandar – tempat orang kaya-kaya tak punya anak.

“Benar, Siti, Leha! Sampai bila kita mahu mengandung saja tak beranak? Aku sudah dua tahun begini. Kadang-kadang rasanya mahu buang sahaja perut ini. Sudahlah jadi mak buyung, mencuci baju semua jadi berat,” Sarimah resah. Kandungannya lebih besar daripada yang lain. Mahu dilahirkan, suaminya melarang kerana takutkan ketua kampung.

Sarimah membuang pandang ke jalan. Dilihatnya perempuan-perempuan kampung berjalan terkedek-kedek dengan perut membusung. Ada yang sekejap-sekejap berhenti menahan lelah. Membiarkan orang-orang perempuan mengandung sebegini lama ialah satu hal yang tak wajar. Tak adil. Tak adil.

“Aku fikir, beginilah. Kita carikan isteri baru untuk ketua kampung.”

Siti tersedak pisang. Mata Leha terbelalak. Sarimah bangun dari pangkin dan mula berpidato. Katanya, kalau ketua kampung berkahwin semula, isterinya bakal mengandung dan beranak. Nah, pada masa itu, semua orang perempuan pasti boleh melahirkan anak mereka.

“Kau yakin?” Leha berkerut dahi. Dalam fikirannya, siapa yang mahu ketua kampung? Si tua kerepot dan panas baran itu?

“Kenapa tidak? Kalau mahu merusuh, kau berani? Dengan perut yang berat dan mahu pecah?” tanya Sarimah.

Siti mengangguk-angguk. Ada benarnya apa yang Sarimah katakan. Kalau ketua kampung beristeri lagi – kali ini kita carikan yang subur-subur, pasti peluang untuk melahirkan anak kedua lebih cerah. Kasihan orang perempuan. Sudah 40-an masih ada membusung anak yang sepatutnya dilahirkan pada umur 30 dahulu. Kasihan. Kasihan. Mahu digugurkan, pastilah sayang. Sedangkan haiwan sayangkan anak. Kalau mahu merusuh pula, ah, sudah-sudahlah merusuh! Takut tersadung batu, sia-sia anak yang dikandung bertahun-tahun.

“Semua setuju? Esok kita iklankan pencarian!” Sarimah yakin. Tapi Leha masih dalam kebingungan.

Esoknya, Sarimah mengangkat poster. Siti menguruskan pendaftaran. Masing-masing dengan wajah berseri-seri memanggil anak-anak gadis mengikuti temu duga memilih calon isteri ketua kampung. Para ibu masing-masing seronok menghantar anak dara mereka. Kalau dapat bermenantukan ketua kampung, senang dan mewahlah hidup.

Suraya, anak dara Mak Limah antara yang datang. Parasnya elok dan menarik. Tingkah-lakunya sopan, sejuk mata memandang. Katanya, dia mahu bersuamikan ketua kampung. Dia mahu membantu orang-orang kampung melahirkan anak-anak mereka. Lagi pula, sudah berbelas-belas tahun dia menunggu Mak Limah melahirkan adik. Dia bosan hidup sendirian.

Esoknya, bersorak-sorailah orang-orang kampung. Masing-masing dengan rela hati menguruskan hal-hal perkahwinan ketua kampung. Dari kompang sehinggalah urusan makanan, semua ditanggung beres. Mak Limah senang hati melihat perkahwinan anaknya. Gilang-gemilang dan direstui.

Malam pertama di rumah ketua kampung, Suraya masih berkebaya dengan rambut disanggul tinggi. Direnungnya suaminya dalam-dalam. Dalam samar-samar mengecap nikmat malam, berseronoklah kedua-duanya ke puncak berahi.

Gembira bukan kepalang orang kampung melihat ketua kampung berpeluk dengan Suraya. Apabila ditanyakan kepada Suraya sudahkah mereka berasmara di atas bulan, tersenyum simpul gadis itu. Ibu-ibu mengandung tidak sabar menantikan Tuhan meniupkan roh ke rahim Suraya. Kalau boleh, biarlah kembar yang dikandungnya.

Hari silih berganti. Enam bulan usia perkahwinan ketua kampung dengan Suraya. Gadis itu tetap sahaja melenggang-lenggok dalam kebayanya. Tiada tanda-tanda mengandung. Seluruh kampung resah. Para suami tidak dapat menahan rasa membiarkan isteri macam ikan buntal. Mengandung tak beranak. Kadang-kadang mereka marah-marah lantaran hajat tak tertunaikan. Kasihan. Kasihan.

“Aku fikir, kita berpakat sahajalah,” Leha tiba-tiba memberikan pandangan.

“Kita pujuk Suraya pura-pura mengandung.”

***

Orang-orang kampung kenduri besar-besaran apabila Suraya dilaporkan mengandung. Ditumbangkan tiga ekor lembu dan dua ekor kambing. Ada yang datang membawa kuih-muih. Gembiranya seperti seorang bapa menyambut kepulangan anak dari perantauan. Atau se-orang suami dibenarkan berkahwin lagi satu. Tapi ketua kampunglah orang paling gembira. Sekian lama kemarau anak akhirnya kejantanannya terbukti semula. Kalau boleh, dia mahu anak laki-laki. Satu hari nanti, boleh menggantikannya menerajui kampung ini.

Sembilan bulan Suraya ke sana ke mari dengan perut membusung. Wajahnya jadi kembang macam beruang. Perutnya macam belon air. Malam itu, satu kampung panik dengan berita Suraya sudah mahu beranak. Masing-masing berkain pelikat,  berkain batik dengan selendang ke rumah ketua kampung. Tidak sabar menanti kelahiran anak Suraya setelah sekian lama dijatuhkan hukuman. Sayup-sayup mereka dengar Suraya menjerit pedih. Ada yang menutup mata kerana jantung berdebar. Kasihan. Kasihan.

Akhirnya, malam itu gamat dengan sorak-sorai orang kampung. Suraya melahirkan anak kembar satu laki-laki, satu perempuan. Ketua kampung melompat gembira. Sudahlah tenaga jantannya masih ampuh, anaknya kembar pula. Benar-benar tuah!

Maka bisinglah malam itu juga dengan tangisan anak-anak kecil yang lain. Mak Limah sudah melahirkan. Bersahut-sahutan tangisan bayi yang sekian lama dibiarkan dalam kandungan. Alangkah gembiranya orang-orang kampung menyambut kelahiran.

Suraya memeluk suaminya dalam tangisan. Dalam kegembiraan suaminya berkata, “Anak-anak kita ini pasti terkenankan orang-orang kampung. Yang laki-laki wajahnya macam Jabar suami Sarimah. Yang perempuan saling tak tumpah macam Leha yang selalu datang mengurut awak. Kita benar-benar terhutang budi dengan mereka.”

Suraya mengangguk dan tersenyum. Berpelukanlah mereka suami-isteri seperti pasangan-pasangan lain yang turut sama meraikan.

Di hujung kampung, Siti menyusukan anak keduanya, Leha menangis dalam kemenangan (dan kehilangan). Sarimah dan Jabar – tidak sabar mahu merancang anak ketiga.